UMNO bertegas tidak akan membuat rundingan belakang tabir untuk membentuk kerajaan secara terdesak, sebaliknya, perlu membangunkan semula keyakinan orang Melayu terhadap parti itu dan menjadi gerakan politik yang berbakti dan pembangkang yang menyuburkan demokrasi.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak akan mengkhianati rakyat Malaysia yang telah memilih kerajaan baharu pada 9 Mei lepas.

"Kita tidak akan merunding dan memeta jalan belakang untuk meraih kuasa secara terdesak, atau hijack keputusan PRU-14 dengan kembali membanjiri dan menyibuk dalam pasukan kerajaan.

Iltizam baru bagi UMNO adalah untuk menyuburkan demokrasi Malaysia dengan mengukuhkan sistem dwiparti dan politik berprinsip," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamad yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, parti itu akan memberikan tawaran baharu kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Jelas beliau, tawaran ini merupakan hala tuju baharu UMNO agar bangsa Melayu dalam dekad pencerahan ini akan lebih kompeten, berdaya saing dan maju.

"Memperjuangkan bangsa Melayu tidak akan dilakukan dengan meminggirkan bangsa lain dalam apa jua cara. Sudah tiba masa agenda Melayu UMNO disemak. Ia mesti direkayasa dan diberikan lonjakan baru," katanya lagi.

Beliau berkata, dengan kerjasama semua dalam UMNO, episod pengislahan sebenar parti itu akan bermula demi kebaikan bersama.

"Inilah iltizam baharu UMNO yang akan dijadikan pedoman dalam perjalanan ke hadapan. Saya berharap bahawa semua pendukung UMNO berkongsi dalam iltizam ini.

"Seruan ke arah kebaikan adalah seruan yang mesti kita bangunkan bersama," katanya.

Mohamad turut menegaskan UMNO akan memerangi politik wang kerana ia merupakan penyebab kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Kepada semua ahli, sedarlah bahawa politik wang adalah keji pada agama, dan keji pada adat dan amalan.

"Saya dan rakan-rakan dalam parti akan membersihkan parti sebersih-bersihnya.

"Sesiapa yang tidak ingin bersama dalam perang ini, berpindahlah ke parti seberang sana, atau ke mana-mana pihak yang boleh memberikan anda habuan yang diharapkan.

"UMNO yang baharu hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsanya. Kita akan menghentikan politik wang sebelum ia menghentikan UMNO," ujar beliau.

Selain itu, Mohamad juga mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa parti itu perlu menjadi juara kepada semua kaum dan bukan hanya kepada orang Melayu.