Berikut adalah pertandingan yang dijangka bakal berlangsung di Parlimen 085 Pekan, DUN N20 Pulau Manis, DUN N21 Peramu Jaya, DUN N22 Bebar, dan DUN N23 Chini.

Di Parlimen Pekan, penyandangnya selama sepuluh penggal berturut-turut, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan menghadapi saingan daripada Ahli Majlis Pengurusan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Zahid Md Arip.

Zahid, yang sebelum ini merupakan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), mempunyai karektor yang cukup berwarna-warni dalam politik tanah air kerana sejarah menyaksikan cucu bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghabar Baba ini kerap berubah kem.

Baru-baru ini beliau pernah direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan terbabit dalam salah laku urus niaga melibatkan aset Felda Investment Corporation (FIC).

Seorang lagi yang bakal memberi saingan di Pekan ialah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Kapten (B) Ahiatudin Daud.

Pada Pilihan Raya Umum yang lepas, Datuk Seri Najib menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Fariz Abd Talib dengan majoriti 35,613 undi.

Grafik Astro AWANI


Di N20 Pulau Manis pula, penyandangnya dari UMNO / Barisan Nasional Datuk Khairudin Mahmud pula akan menghadapi saingan dari calon DAP, Abu Bakar Lebai Sudin dan calon PAS, Kapten (B) Zainuddin Noh) yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pekan.

Pada 2013, Khairudin menewaskan calon PAS, Othman Bakar dengan majoriti 5,137 undi.

Grafik Astro AWANI


Manakala di N20 Peramu Jaya, penyandang Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali dari UMNO / Barisan Nasional sekali lagi akan berhadapan dengan Yang Dipertua PAS Pekan, Abu Kassim Manaf, selain turut dicabar Timbalan Pengerusi PPBM Pekan, Datuk Salim Abd Majid.

Pada pilihan raya umum yang lepas, Sh Mohamed Puzi mendapat kemenangan mudah dengan menewaskan Abu Kassim, dan seorang lagi yang bertanding di bawah tiket Bebas, Datuk Syed Mohammad Faiz Syed Azemant, dengan majoriti 7,626 undi.

Grafik Astro AWANI


Di N22 Bebar pula, penyandangnya Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dari UMNO / Barisan Nasional turut menghadapi saingan tiga penjuru dengan dicabar Naib Pengerusi PPBM Pekan, Afif Syirol Abdul Rahman, dan AJK PAS Pekan, Mohd Nazhar Othman.

Mohamad Fakhruddin, memenangi kawasan itu pada pilihan raya umum lepas dengan menewaskan Mohd Jafri Ab. Rashid dari PKR dengan majoriti 6,715 undi.

Grafik Astro AWANI


Dan bagi DUN terakhir di Parlimen Pekan, iaitu N23 Chini, penyandangnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Datuk Seri Abu Bakar Harun akan menghadapi saingan Mohd Razali Ithnain dari PPBM, dan Yang Dipertua PAS Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim.

Sewaktu PRU sebelum ini, Abu Bakar menewaskan calon PKR, Sitarunisah Ab Kadir dengan majoriti 7,675 undi.