Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dari Parti Warisan Sabah (Warisan), memberi gambaran bahawa tiada masalah jika beliau memilih untuk menjadi wakil rakyat Bebas.

Rozman berkata, ini kerana setiap urusan pentadbiran di Wilayah Persekutuan itu adalah tertakluk kepada pegawai kerajaan yang dilantik.

Katanya, beliau boleh memainkan peranan dengan melakukan tugas semak dan imbang demi kepentingan Labuan.

"Ahli Parlimen Labuan adalah daripada Warisan yang menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

"Itu tiada masalah, malah ianya adalah kelebihan sebab Labuan dengan Sabah mesti ada penghubung.

"Sebab itu (saya) sertai Warisan dan mengharapkan boleh teruskan (Projek Jambatan Labuan-Menumbok)... tetapi sekarang semua sudah jadi lain," katanya kepada Astro AWANI.

Rozman bagaimanapun berkata, beliau belum mempunyai perancangan untuk keluar daripada Warisan untuk menyertai parti lain atau menjadi wakil rakyat Bebas.

"Saya masih dengan Warisan. Tidak manis gopoh-gopoh dan lompat-lompat.

"(Kita) mesti tenang dan ada semangat setia kawan. Perkara ini tidak mudah, sesetengah orang senang buat tetapi orang akan memerhati," ujarnya.

Selepas Putrajaya diambil alih Perikatan Nasional (PN) sejak Mac lalu, Sabah antara negeri yang diramal akan tumbang atas beberapa faktor termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti secara beramai-ramai.

Ramalan itu dikuatkan lagi apabila sekumpulan 11 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yang pernah memegang jawatan di peringkat negeri dan cabang parti itu mengisytiharkan keluar parti, Jumaat lalu.