Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak percaya tiada masalah untuk parti itu menerima permohonan keanggotaan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak sekiranya ia menguatkan parti kedudukan parti.

Bagaimanapun, katanya, ia terpulang kepada keputusan Biro Politik parti yang seterusnya dibawa kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR untuk diputuskan sama menerima atau tidak permohonan itu.

Farhash juga percaya berdasarkan kepada pengalaman dan latar belakang keluarga, bekas menteri itu boleh memperkuatkan PKR di Sabah.

“Saya kenal beliau secara peribadi di zaman dia menteri lagi. Waktu tu bagi saya, dia seorang yang baik, seorang yang bekerja keras, seorang yang berada daripada keluarga ahli tokoh-tokoh politik yang sentiasa perjuangkan nasib rakyat di Sabah. Jadi saya nampak tak ada masalah.

“Kalau saya sendiri, saya terima beliau sebagai ahli PKR, tak ada masalah, kalau ia menguatkan parti kita,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan cabang (MATC) Tambun 2019 di Tambun pada Ahad.

Menurut Farhash, MPP PKR dijangka memutuskan permohonan Salleh dalam mesyuarat bulanan yang dijangka diadakan 18 Oktober ini.

BACA: Permohonan Salleh Said Keruak masuk PKR dipertimbang - Fahmi Fadzil

Sementara itu, Farhash berkata, berdasarkan MATC yang telah diadakan, rata-rata peringkat akar umbi PKR mahu Pakatan Harapan menunaikan janji untuk melantik Presiden parti itu sebagai Perdana Menteri Kelapan.