“InsyaAllah, tiada.”

Itu jawapan ringkas daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika disoal sama ada berlaku kempen kotor dalam pemilihan parti itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi dalam satu artikel di portal MalaysiaKini yang mengaku proses pemilihan parti itu kini dicemari kempen kotor.

Tambah Abdul Hadi, dalam parti itu, sesiapa yang melakukan sebarang pemilihan kotor tidak akan dipilih.

“Siapa yang buat pilih (pemilihan) kotor, dia tak dipilih. Itu kami dalam PAS,” tegas Hadi dalam satu sidang media hari ini selepas menghadiri Kongress Profesional Muslim di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor.

Dalam laporan portal itu, Asmuni dipetik sebagai berkata beliau tidak menolak sebarang kemungkinan ia didalangi pihak luar yang ingin mengambil kesempatan.

Dalam pada itu, Hadi juga tidak menyangkal kemungkinan presiden Parti Keadilan Rakyat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

“Kami masih dalam Pakatan Rakyat,” jawab Hadi ketika disoal wartawan mengenai ada ura-ura menyatakan Pemuda PAS Pulau Pinang akan memboikot PRK itu jika Wan Azizah bertanding untuk kerusi itu.

BACA: Wan Azizah paling layak bertanding PRK Permatang Pauh - Rafizi

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April, manakala pengundian awal 3 Mei.

BACA: PRK Permatang Pauh perlukan 'wakil rakyat' bukan hanya wakil parti - Yusmadi

Sementara itu, Hadi juga mengulas mengenai calon PAS yang akan bertanding dalam PRK Rompin.

Beliau berkata ia bergantung kepada jawatankuasa pilihan raya PAS.

“Itu bergantung kepada laporan negeri-negeri. Kita berserah kepada jawatankuasa pilihanraya PAS Pusat untuk mengendali urusan ini dan saya akan dimaklumkan insyaAllah sebelum penamaan calon nanti,” jelas Hadi.

BACA: Datuk Hasan Arifin calon BN untuk PRK Rompin

BACA : PAS akan bertanding di Rompin, bantu PKR di Permatang Pauh

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang Jamaluddin dalam kemalangan helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.

Allahyarham Jamaluddin menjadi anggota Parlimen kawasan itu selama enam penggal dari 1990.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, beliau menewaskan Ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 5 Mei sebagai hari mengundi. Hari penamaan calon pula ialah pada 22 April.