Tiada pihak atau individu yang boleh membuat telahan mengenai kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ramalan atau jangkaan itu hanya pendapat dan ia boleh berubah berdasarkan beberapa faktor.

"Pada peringkat ini, tiada siapa yang harus membuat telahan UMNO akan kalah pada pilihan raya akan datang.

"Apa sahaja telahan dibuat, terdapat beberapa faktor seperti perjuangan politik dan sosial yang boleh berubah dalam tempoh sebelum PRU," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rais mengulas catatan terbaharu di blog Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan dasar pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang banyak memberi wang percuma dilihat menimbulkan kemarahan orang Melayu.

Jelas Dr Mahathir, dasar itu sekali gus dilihat mengenepikan Dasar Ekonomi Baru dan bertujuan mendapat sokongan orang Cina.

Dalam pada itu tambah Rais, Najib dilihat sentiasa mengambil kira semua pandangan negatif untuk kebaikan pentadbirannya.

"Saya percaya dia (Najib) akan mengambil pandangan rakyat terhadap isu yang tidak menguntungkan dan menimbang semula semuanya.

'Najib boleh mengubah pendirian mengenai isu-isu semasa. Walaupun ada isu berat timbul, ia dapat diatasi sekiranya ada masa dan pihak berkuasa mahu mengubah beberapa haluan serta dasar yang berkenaan," jelasnya.

Bagaimanapun Rais berkata, kenyataan Dr Mahathir itu dilihat boleh diterima pakai seandainya ada bukti atau dikeluarkan pada masa PRU benar-benar hampir tiba.

"Saya boleh menerima kata-kata Dr Mahathir jika bukti-bukti ini masih wujud setahun sebelum PRU.

"Jika ia berlaku, mungkin sudah terlambat untuk mengubah semuanya kepada keadaan sepatutnya," katanya.

Pada PRU ke-13, UMNO menyumbang 109 daripada 133 kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN).

Angka 109 daripada 120 kerusi yang ditanding UMNO itu menunjukkan peningkatan pencapaian sebanyak 23 peratus berbanding PRU 2008 apabila BN memenangi 79 kerusi Parlimen daripada 117 kerusi yang dipertanding.

Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN), UMNO berjaya menguasai 244 kerusi daripada 339 kerusi yang dipertanding berbanding 239 daripada 338 kerusi pada 2008.