Kemungkinan wujud unsur protes dalam kalangan pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) apabila tidak ada seorang wakil mereka hadir pada pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) peringkat negeri Sabah semalam.

Pensyarah kanan Jabatan Sosiologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata ini kerana Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal gagal menghalang keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk Bersatu di Negeri Di Bawah Bayu itu.

"Kalau kita lihat tidak ada bayangan pemimpin Warisan hadir pada majlis tersebut. Kalau kita lihat, ada unsur-unsur protes atau tidak ada persetujuan di dalam kalangan parti Warisan untuk membenarkan parti Bersatu hadir ke negeri Sabah.

"Namun kita perlu lihat, dalam konteks ini, Mohd Shafie sendiri tidak dapat menghalang perkara ini berlaku sebab beliau hanya sekadar presiden sebuah parti politik sahaja, namun ia tidak dapat menghalang parti Bersatu yang pemimpin Bersatu adalah Perdana Menteri.

"Agak sukar untuk beliau menolak kemasukan parti Bersatu ke Sabah. Mahu tak mahu terpaksa menerimanya walaupun dengan hati yang agak berat dan sedikit terluka," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau berpandangan sebuah Majlis Pakatan Harapan Sabah yang dianggotai parti-parti komponen perlu diwujudkan.

"Di Sabah, lebih sesuai pembentukan satu Majlis Pakatan Harapan Negeri Sabah yang agak umum, diketuai oleh Mohd Shafie selaku Ketua Menteri," katanya.

Pada majlis pelancaran Bersatu peringkat negeri Sabah semalam, media dimaklumkan tidak ada seorang pemimpin Warisan yang hadir.

Antara pemimpin tempatan yang hadir semalam adalah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; bekas Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin; Ketua Pembangkang DUN Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan; mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS) pula adalah Datuk Jahid Jahim dan Datuk Joniston Bangkuai.

Astro AWANI cuba mendapatkan Mohd Shafie untuk menjelaskan perkara tersebut.