Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini dibebaskan tanpa ikat jamin selepas ditahan reman semalam berhubung pembabitannya dalam perhimpunan #KitaLawan baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memaklumkan Tian Chua dibebaskan serta-merta selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memutuskan untuk menolak permohonan polis untuk melanjutkan tahanan reman terhadapnya.

Pada 19 Mac sekumpulan anggota polis dilaporkan telah cuba menahan Tian Chua di kediamannya. Namun tiada penahanan dilakukan selepas rundingan berlangsung.

Beberapa individu yang ditahan berkaitan perhimpunan #KitaLawan sebelum ini adalah Bendahari Pemuda PAS Mohd Fakhrul Razi, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, penyelaras PKR Jingga-13 Mohd Fariz Musa, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, pemimpin PKR Kelana Jaya, Saifullah Zulkifli, ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong dan ahli PKR Subang S. Jayathas.

Aktivis Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh juga pernah direman untuk siasatan berkaitan perhimpunan yang sama.