Setiap kali tiba musim pilihan raya semakin ramai syaitan-syaitan yang keluar membuat fitnah, kata penyokong kuat Barisan Nasional (BN) Datuk Rizal Mansor.

Kenyataan itu dibuat ekoran muncul klip audio yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp yang mempunyai maklumat apa yang didakwa pembaziran melibatkan sepinggan kek hari jadi Datin Seri Rosmah Mansor berharga RM75,000 dan dua buah CCTV di bilik Rosmah di Putrajaya memakan belanja RM7 juta.

"Kek hari jadi apa yang berharga RM75,000? Kalau ada boleh tunjuk dekat saya, di mana ia dibeli?" Soal Rizal.

Rizal turut menyanggah dakwaan bahawa Rosmah sebagai isteri perdana menteri pertama yang memiliki pejabat di Putrajaya.

"Datin Seri Rosmah bukan isteri perdana menteri pertama yang ada pejabat di Putrajaya.

"Tetapi dia adalah isteri perdana menteri pertama yang tidak mempunyai pejabat di Putrajaya," kata Rizal.

Selain dari itu, Rizal turut menafikan dakwaan dalam klip audio itu mengenai CCTV di bilik Rosmah itu.

"Dua buah CCTV berharga RM7 juta?

"Seperti yang saya nyatakan, DS Rosmah tidak ada pejabat di MOF ataupun PMO, jadi CCTV yang dia sebut ni pasang di pejabat mana?" Jelas Rizal.

Rizal yang berkata pihaknya akan membuat laporan pada SKMM mengenai perkara itu dan mencabar pemilik suara tersebut untuk tampil membuat tuduhan secara terbuka.

"Saya mencabar tuan empunya suara dalam klip audio itu agar dapat tampil ke depan dan buat tuduhan secara terbuka.

"Jangan jadi bacul dan penakut untuk buat fitnah menggunakan Whatsapp," katanya.