Isu mengenai Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi sebahagian daripada Kabinet Persekutuan adalah kurang penting berbanding kepentingan negara yang menjadi keutamaan, kata Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg hari ini.

Abang Johari berkata beliau memerlukan masa untuk memutuskan sama ada GPS akan menerima atau menolak sebarang jawatan dalam kerajaan Persekutuan itu.

"Biar saya lihat dahulu...mengandaikan ada jemputan (untuk GPS menyertai Kabinet) tidak berapa penting, keutamaannya adalah soal negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Keharmonian Antara Agama bersempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2020 yang dianjurkan Pusat Penerangan Islam Sarawak di sini.

BACA: GPS sokong PM, mahu kabinet bersih dan berintegriti

Abang Johari berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau sudah membuat keputusan mengenai gabungan itu menyertai Kabinet Persekutuan selepas Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kepimpinan gabungan itu menyerahkan mandat sepenuhnya kepada Abang Johari untuk membuat keputusan.

Cakap-cakap mengenai kemungkinan kemasukan wakil-wakil GPS dalam Kabinet baharu itu timbul setelah mereka menyatakan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan selepas seminggu negara menghadapi kemelut kepemimpinan politik.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Ahad lepas.

-- BERNAMA