Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan bahawa Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin dipecat dari parti adalah tidak relevan.

Malah beliau menegaskan tidak pernah mendengar ura-ura mengenai perkara itu.

"Saya tidak pernah mendengar mengenai dakwaan itu. Bagi saya, ia tidak relevan," katanya kepada media selepas Syarahan Darul Ehsan di Universiti Selangor (UNISEL) di sini pada Isnin.

Beliau menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian pemimpin dalam Pakatan Harapan daripada isu-isu yang lebih utama.

"Perkara utama negara kita ialah pemimpin (dalam kerajaan) perlu menyelesaikan isu ekonomi. Rakyat mula membangkitkan isu seperti kenaikan harga, kita mahu polisi yang jelas bagaimana untuk membantu mereka. Seluruh kepimpinan PH telah berusaha menyelesaikan perkara ini. Saya tidak rasa kita perlu layan semua khabar angin atau ahli politik terdesak," jelasnya lagi.

Ura-ura mengenai Mohamed Azmin dan Zuraida dipecat dari PKR tersebar sejak beberapa hari lalu.

Malah pada Ahad, Ahli Majlis Pimpinan Pusat parti itu Saifuddin Abdullah turut menegaskan ia sebagai khabar angin dan berkemungkinan dilakukan pihak yang mempunyai agenda tertentu.