Tiga calon dari kumpulan progresif yang tewas dalam pemilihan PAS awal bulan ini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) parti itu bagi sesi 2015 hingga 2017.

Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub dan Mohd Taufek Abdul Ghani merupakan tiga nama dalam kumpulan progresif yang dilantik sebagai AJK PAS Pusat.

Mahfuz dan Salahudin tewas dalam pertandingan merebut jawatan naib presiden PAS.

Manakala Mohd Taufek yang juga bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi gagal merebut tempat dalam pemilihan AJK PAS Pusat.

Ditanya sama ada ketiga-tiga calon yang tewas menerima atau tidak jawatan yang dilantik itu, timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan tiada sebarang jawapan penolakan diterima.

"Kita dah hantar surat lantikan minggu lepas dan kita telefon untuk maklum mengenai pelantikan tersebut.

"Oleh kerana kita tidak menerima sebarang jawapan, jadi kita anggap mereka menerima lantikan tersebut," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Sementara Datuk Mustafa Ali yang sebelum ini memegang jawatan Setiausaha Agung PAS Pusat dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyudin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung yang baharu.

Bagi jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat pula, anggota parlimen Temerloh Nasrudin Hassan dilantik mengisi kekosongan jawatan tersebut.