Berita  |  Politik

Tiga exco Pas kekal kecuali diarah Istana Selangor - Takiyuddin

Tiga exco Pas kekal kecuali diarah Istana Selangor - Takiyuddin
TAKIYUDDIN: Di Selangor, mengikut perlembagaan negeri menetapkan bahawa seseorang exco memegang jawatan atas perkenan Sultan Selangor dan juga sebaliknya. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiga Exco Pas dalam Kerajaan Selangor akan terus kekal dalam pentadbiran selagi tiada arahan dari pihak istana untuk berundur.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan mengulangi pendirian parti tersebut dengan memetik peruntukan perlembagaan bagi menyokong hujahnya.

"Di Selangor, mengikut perlembagaan negeri menetapkan bahawa seseorang exco memegang jawatan atas perkenan Sultan Selangor dan juga sebaliknya," kata Takiyuddin.
Tambah beliau, situasi sama berlaku ketika 1996 apabila Semangat 46 keluar dari Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Semasa itu, Pas tidak memecat exco dari Semangat 46 yang berkhidmat dalam Kerajaan Kelantan tetapi UMNO yang mengarahkan mereka untuk melepaskan jawatan.

Menyentuh situasi di Kelantan pula, Takiyuddin berkata ahli PKR yang menerima lantikan politik diberi ruang untuk terus memegang jawatan.

"Namun, jika mereka terpaksa mengikut arahan parti untuk melepaskan jawatan, terpulanglah," kata Takiyuddin.

Sementara itu, kedudukan Exco dan jawatan lantikan politik di Selangor pula akan dibincangkan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada pagi esok.

Selain itu, Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi memaklumkan terdapat 63 ahli PKR diberikan jawatan lantikan politik di Kelantan.

Menurut beliau, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang surat rasmi perletakan jawatan dari mereka.