Tindakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz berbohong dan menafikan suaranya dalam audio rakaman yang tular itu mengambarkan Pas sebagai sebuah parti berbohong, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Bahkan menurut Mohamad atau lebih dikenali dengan Mat Sabu, tindakan Nik Mohamed Abduh yang turut mengaitkan Allahyarham ayahnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan pelik sekaligus mencalarkan imej Pas dan juga Allahyarham ayahnya.

"Saya amat kesal sebab Tok Guru Nik Aziz tidak boleh buat apa-apa sebab dia sudah tiada, saya rasa kesal dan pelik, memburukkan Pas dan memburukkan Tok Guru Nik Aziz itu sendiri satu perkara tak elok dalam budaya kita," katanya selepas merasmikan pejabat Amanah Kawasan Pasir Mas pada Ahad.

Mohamad juga menyifatkan Pas sebagai parti yang tidak boleh dipercayai, yang boleh menjejaskan imej perjuangan Islam.

Sebelum ini Ahli Parlimen Bachok itu mempertahankan tindakannya menafikan kesahihan suaranya dalam audio Pas menerima dana daripada UMNO itu adalah langkah yang tepat.

Katanya, dalam soal menjaga kerahsiaan parti perkara itu juga pernah diamalkan oleh ayahnya, Allahyarham Nik Abdul Aziz ketika memimpin Pas.

Sementara itu, Mohamad mengakui tidak mengetahui perbincangan antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga kenyataan mengenai perkara tersebut dinyatakan sendiri Perdana Menteri.

Mohamad yang sering dipanggil Mat Sabu berkata, butiran perbincangan serta surat yang dinyatakan itu bukan dalam pengetahuannya.