Tok Batin (Ketua Kampung Orang Asli) di Kampung Sungai Lalang Baru di sini, Aleh Abdullah, 53, mendakwa teks ucapan yang dibacanya sewaktu program berkempen Pakatan Harapan (PH) bukan tulisannya sendiri.

Menurut Aleh, sekurang-kurangnya separuh daripada teks itu ditulis oleh seorang bekas pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan meminta beliau membacakan ucapan itu.

“Bukan saya sebenarnya. Dia tulis dan saya ikutlah (baca).

“Kita sendiri tak cakap (bukan tulisan sendiri) jadi kita pun rasa bangga tak bangga. Tapi kena baca jugalah,” katanya kepada pemberita selepas program Sembang Santai Masyarakat Orang Asal bersama presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini pada Ahad.

Apabila ditanya sekiranya beliau setuju dengan kandungan teks ucapan itu, Aleh berkata: “Tunggu 2 Mac nanti”.

Dalam ucapannya, Aleh dilihat tergagap ketika menyatakan sokongan terhadap kerajaan PH serta calonnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.

“Kami sokong calon PH dan kerajaan. Tepuklah tangan. Kalau tak sokong nanti susah kami semua.

“PRK Semenyih kami sokong dan undi PH. Bila menang nanti, kami minta PH bantu kami,” katanya di hadapan kira-kira 50 masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, Aleh turut mendakwa bahawa PH akan mengadakan satu lagi program di Kampung Sungai Lalang Baru di mana penduduk dijangka dijamu selera, diberikan hamper selain dihibur dengan sesi karaoke.

“Sepatutnya orang kata, hamper tak boleh (bagi) untuk memujuk orang mengundi tapi aku tengok boleh, hairan pula.

“Macam mana? Kalau orang lain ambil gambar nanti, rasa serba salah,” katanya lagi.

Pada Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan Aleh sebagai berkata beliau berasa rindu dengan pentadbiran Barisan Nasional yang disifatkannya lebih mengambil berat perihal kebajikan kaum minoriti itu.

Astro AWANI sedang cuba mendapatkan respons daripada pihak Jakoa mengenai perkara tersebut.