Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dengan majoriti 4,510 undi.

Mohamad Hasan menerima 10,397 undian mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram yang sekadar mendapat 5,887 undian.

Dua lagi calon, R Malarvizhi (BEBAS) hanya meraih 83 undi manakala seorang lagi calon BEBAS Mohd Nor Yassin menerima 79 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus di Dewan SJK (C) Bandar Seri Sendayan pada jam 8:45 malam pada Sabtu.

“Dengan ini saya mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi bahagian negeri N27 Rantau,” katanya.

Tambah Nizam, jumlah kertas undi yang ditolak adalah sebanyak 146.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah peratusan keluar mengundi pada PRK Semenyih meningkat kepada 79.3 peratus berbanding enam PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad Hasan pada PRU lalu tidak sah dan terbatal.

Ini selepas Streram, yang juga dicalonkan PH untuk PRU ke-14 lalu, dihalang daripada menghantar borang pencalonan ketika hari penamaan calon pada 28 April 2018.

Ini merupakan PRK ketujuh selepas PRU14 tahun lalu, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).