Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan akan menyiasat kebenaran dakwaan 40 lagi Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti dan kemudiannya menyertai Bersatu.

Mohamad berkata, beliau tidak dapat menjelaskan kebenaran mengenai dakwaan berkenaan memandangkan beliau juga sedang meneliti sama ada dakwaan berkenaan benar atau sebaliknya.

“Saya pun sedang mencari punca… saya tak tahu… Sama ada berita tu benar atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin mendedahkan terdapat kemungkinan 40 lagi Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti kerana menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu selepas ini.

Menurutnya, kesemua mereka itu juga telah beberapa kali bertemu Pengerusi Bersatu,Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan perkara itu.