Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menolak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri dalam penstrukturan semula barisan exco kerajaan negeri pada Rabu.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal itu menggambarkan tawaran berkenaan seakan-akan mempersendakan beliau yang pernah pegang jawatan nombor satu di negeri itu.

Ahmad menegaskan kepimpinan sedia ada tidak mengiktiraf kedudukannya sebagai wakil rakyat sah yang dipilih secara demokratik setelah bertindak memotong peruntukan kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

“Saya tidak tahu siapa yang menasihati yang berhormat Menteri Besar Terengganu ketika ini yang menarik balik semua peruntukan untuk DUN Kijal.

“Serupa juga membuat pelantikan tertentu tanpa merujuk kepada saya seolah-olah saya bukan lagi seorang wakil rakyat daripada BN, tetapi tiba-tiba lantik saya pula seolah-olah mengiktiraf saya balik,” kata beliau.

Beliau juga mendakwa pelbagai projek yang diumumkan kerajaan negeri sebelum ini tidak dilaksana seperti dijanjikan.

Beliau pada masa sama sedia menerima sebarang tindakan berikutan kenyataannya mengenai pelbagai kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Ahmad Razif pada Rabu mengumumkan rombakan dan penstrukturan semula barisan exco kerajaan negeri yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.