Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya, di sini hari ini.

Menurut Presiden PKR Anwar dalam status terbaharu di Facebooknya, perjumpaan berkenaan turut 'membincangkan beberapa isu mutakhir di dalam dan luar negara.'

"Dalam pertemuan itu juga, kami bersetuju bahawa pimpinan negara harus pantas dan wibawa dalam menumpukan kepada isu ekonomi termasuk memacu pelaburan domestik dan asing," kata Anwar lagi.

BACA: "Itu hanya andaian" ulas Anwar mengenai kenyataan Tun M berhubung serah jawatan PM

Terdahulu, dalam satu acara berasingan, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, kenyataan Dr Mahathir yang akan menyerahkan jawatan itu dalam tempoh tiga tahun dan bukan dua tahun seperti yang dilaporkan dipersetujui Pakatan Harapan merupakan andaian.

"Itu hanya andaian," jawabnya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara.

Beliau turut berkata, masalah antara beliau dan Dr Mahathir berkenaan peralihan jawatan Perdana Menteri.

Soal tarikh dan sebagainya adalah antara mereka berdua, tambah Anwar lagi.