Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran sudah membuat pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkannya melalui laman Instagram (IG) hari ini.

Menerusi perkongsian menerusi IG Story chedetofficial, bekas Pengerusi Bersatu itu antara lain menunjukkan beliau sedang melayari Sistem Elektronik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (eROSES).

Difahamkan, gambar tersebut menunjukkan Dr Mahathir sedang memasukkan butiran mengenai parti yang baru ditubuhkan itu.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut berkenaan gambar itu sehingga kini.

Sebelum ini, penubuhan Pejuang hangat diperkatakan selepas Dr Mahathir mengumumkan akan menubuhkan parti baharu.

Beliau dilaporkan akan memegang jawatan Pengerusi, manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Presiden.

Sebelum ini, Pejuang menamakan peguam syarie dan peguam bela, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, sebagai calon Bebas mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang akan berlangsung 29 Ogos depan.