Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Tun M rayu MPT Bersatu tidak paksanya mungkir janji dengan Anwar - Kadir Jasin

Tun M rayu MPT Bersatu tidak paksanya mungkir janji dengan Anwar - Kadir Jasin
Apa sahaja kerajaan yang bakal ditubuhkan oleh Dr Mahathir, yang pastinya kleptoktrat tidak akan berada dalam senarainya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas kecewa apabila majoriti ahli MPT parti itu lebih mendengar cakap Setiausaha Politiknya, dakwa Datuk A. Kadir Jasin.

Kadir juga mendedahkan apa yang berlaku ketika Mesyuarat MPT Bersatu yang berlangsung di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, Ahad lepas.
"Dalam mesyuarat tersebut, beliau menjelaskan mandat penuh yang diberikan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan kepadanya pada 21 Februari lalu.

"Beliau merayu kepada ahli MPT agar tidak memaksa beliau melanggar prinsip dan janji yang dibuat (menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November nanti),"katanya dalam tulisan terbaharu di blognya.
Mengulas mengenai rayuan agar menarik balik peletakan jawatan yang dibuat oleh ahli MPT Bersatu dalam kunjungan tidak dirancang ke kediaman Dr Mahathir, Kadir menjelaskan Dr Mahathir tidak melihat rayuan itu sebagai perkara yang penting.

"Begitu sepatutnya. Ada banyak perkara penting lain yang memerlukan perhatian beliau.

"Ini termasuklah menguruskan ekonomi, menstabilkan pasaran, meneruskan cadangan pakej ransangan ekonomi, berunding dengan ketua-ketua penjawat awam dan berjumpa dengan parti-parti politik utama," katanya lagi.

Kadir turut mengulas tentang cakap-cakap mengenai kerajaan perpaduan yang mula heboh sehari dua ini.

Menurut beliau, apa sahaja kerajaan yang bakal ditubuhkan oleh Dr Mahathir, yang pastinya kleptoktrat tidak akan berada dalam senarainya.

“Apa juga kerajaan yang bakal diputuskan oleh Dr Mahathir, satu perkara yang pasti. Penjenayah, kleptokrat, OKT (orang kena tuduh) dan yang korup tidak dijemput.

“Ini telah beliau dijelaskan kepada partinya pada mesyuarat Ahad lalu.

“Kedaulatan undang-undang, perbicaraan berprofil tinggi dan agenda reformasi akan diteruskan,” katanya.

Pada Isnin, Dr Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai perdana menteri kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Yang di Pertuan Agong menerima peletakan jawatan itu tetapi telah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, keputusan itu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir juga melepaskan jawatannya sebagai pengerusi BERSATU selepas Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti berkenaan keluar dari Pakatan Harapan.