Tun Dr Mahathir Mohamad yakin mengambil sekurang-kurangnya 7,000 majoriti undi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) di Langkawi semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada PRU14 kali ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memberitahu, rakyat kini semakin celik dan menunjukkan minat untuk turut serta di dalam pilihan raya.

Jelasnya, rakyat juga mula sedar dengan isu-isu semasa melibatkan negara.

"Kelebihan undi BN yang diwakili UMNO di Langkawi adalah 11,000 daripada 40,000 pengundi, bila kita boleh ambil 7,000 cukup sudah menang," katanya semasa sidang media selepas Majlis Taklimat Calon-Calon Pakatan Harapan PRU14 di sini hari ini.

Kira-kira 600 calon PRU14 PH hadir pada majlis berkenaan.

Sebelum ini, Mahathir dilaporkan mahu melihat tahap sokongan UMNO di Langkawi apabila memutuskan keputusan untuk bertanding di parlimen berkenaan.

Mahathir juga berkata, bertanding di Langkawi juga sebenarnya sudah lama menjadi niatnya sendiri.

Beliau akan menentang penyandang kerusi itu iaitu Datuk Nawawi Ahmad, yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Nawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dengan majoriti lebih 11,000 undi pada PRU lima tahun lalu.

Dalam pada itu, Mahathir juga meminta mana-mana pekerja yang tidak diberi pelepasan majikan pada hari mengundi 9 Mei depan, supaya ponteng kerja.

Beliau mendakwa penetapan hari Rabu sebagai hari mengundi bermatlamat melemahkan pembangkang.

"Saya berpendapat pilihan raya umum pada hari rabu, tidak begitu sesuai, kerana hari bekerja, kita minta semua pengundi supaya ponteng kerja.

"Kerana apa yang kita lakukan ini ada kesan kepada seluruh negara, mengundi juga tanggungjawab besar. Kalau ponteng pun, saya ingat itu halal kepada kita," katanya.