Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa beliau tetap akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan Muhyiddin sebelum ini telah membuat keputusan sendiri tanpa memaklumkan atau mendapat persetujuan daripada parti.

“Perdana Menteri yang ada sekarang ini telah membuat janji untuk menjatuhkan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak. Dia tukar pendirian tanpa dirujuk kepada parti, tanpa buat keputusan daripada parti.

“Walaupun ada usul untuk (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) keluar daripada Pakatan Harapan (PH), tetapi tidak pernah dibincang dalam Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan kerjasama dengan Perikatan Nasional.

“Dia (Muhyiddin) buat suka hati dia sahaja, sebab itu kita tidak ada kepercayaan terhadap Presiden Parti Bersatu ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang dilihat hadir sama pada sidang media tersebut. - Foto Astro AWANI

Ditanya sama ada beliau mempunyai majoriti untuk meneruskan usul tersebut, Dr Mahathir berkata itu bukan perkara pokok yang perlu difokuskan.

“Soal majoriti ini, bukan sesuatu yang tidak akan berubah. Ini kali pertama kita mempunyai sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti yang amat tipis.

“Kerajaan dahulu ada dua per tiga majoriti. Kalau kami dapat dedahklan kesalahan Kerajaan, mungkin ada dari parti kerajaan (PN) akan sokong.

“Tapi kalau kami tidak kemukakan, sudah tentu siapa pun tidak tahu kenapa usul dikemukakan. Ini hak saya sebagai ahli Parlimen. Saya berhak kemukakan usul kepada kerajaan,” jelasnya.

Beliau pada masa sama mengesahkan bahawa beliau tidak akan mengumpul akuan bersumpah bagi menyokong usul undi tidak percaya tersebut.