Perdana Menteri tidak boleh dibiarkan terus membuat keputusan secara bersendirian, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Dalam satu catatan di laman Facebook rasminya, Santiago berkata, situasi sekarang menunjukkan seolah-olah Dr Mahathir bertindak sendirian, walaupun datang dari parti yang dikira minoriti dalam Pakatan Harapan.

Ketika ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu, memilik 26 kerusi parlimen, berbanding PKR (50), DAP (46), dan Amanah (11).

“Kontroversi terbaharu ialah mengenai pengenalan Khat di sekolah. Sangat malang apabila seni kaligrafi yang begitu indah ini, telah diheret ke 'lumpur' oleh kedua-dua ‘hoi polloi’ (majoriti rakyat) dan yang mempunyai hak ‘istimewa’," kata Santiago.

BACA: Charles Santiago kini setaraf dengan sayakah? - Tun Mahathir

Namun, Santiago berkata, semua pihak tidak harus terlepas pandang bahawa hanya seorang individu yang membuat keputusan tanpa mendapatkan pandangan orang lain.

‘Saya percaya Dr Mahathir, dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sedar mengenai sensitiviti yang melingkari isu ini sebelum idea itu diketengahkan,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Klang itu berkata lanjut, sudah tiba masanya untuk menilai kembali proses membuat keputusan di kalangan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Ketika ini nampaknya terlalu banyak kuasa di tangan Perdana Menteri, dan kuasa ini sepatutnya dikongsi secara adil di kalangan parti komponen,” tegasnya lagi.