UMNO akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyatnya yang melompat parti atau keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan menuntut bayaran balik dari pihak terbabit dan mereka perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menerusi tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Khas untuk wakil rakyat yang keluar dari UMNO, mereka tidak akan dibiarkan terlepas.

"Writ saman telah pun dihantar kepada beberapa individu terbabit. Mereka perlu bayar balik kos dan kosongkan kerusi mereka kerana ia milik UMNO dan BN," katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.

Di samping itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata semua wakil rakyat UMNO kini akan diminta menandatangani 'akujanji'.

BACA: Sayap UMNO desak wakil rakyat pulangkan kerusi jika ingin keluar parti

BACA: Saman saja 'pengkhianat' yang tinggalkan UMNO - Asyraf Wajdi

Katanya, dengan akujanji tersebut, status mereka sebagai wakil rakyat akan terlucut secara automatik sekiranya mereka keluar parti.

"Jika mereka keluar parti, sama ada sebagai ahli bebas atau sertai parti lain, keahlian dan status mereka sebagai wakil rakyat automatik terlucut," katanya.

Tambahnya, pihak parti juga akan menuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi sekiranya didapati melanggar perjanjian tersebut.

Hari ini, ketua ketiga-tiga sayap UMNO senada mendesak supaya mana-mana wakil rakyat parti itu yang ingin keluar parti dikenakan tindakan tegas, dan perlu memulangkan semula kerusi yang telah dimenangi.

Pergerakan Pemuda UMNO juga menggesa kepimpinan UMNO untuk mengambil tindakan terhadap petualang yang mengkhianati dan meninggalkan parti itu.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu termasuk mengambil jalan undang-undang terhadap mereka yang bertanding atas nama parti, memanfaatkan jentera parti dan menggunakan wang parti sebelum ini.