Majlis Tertinggi UMNO yang dijadualkan bermesyuarat pada 24 Julai ini dijangka membincangkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim susulan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata semua keputusan berkaitan perkara itu juga dijangka diputuskan di dalam mesyuarat tersebut.

Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dijangka akan membuat pengumuman selepas mesyuarat berkenaan.

"Saya tak mahu mendahului SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)... saya baru tandatangan surat daripada Barisan Nasional (BN) Perak untuk maklumkan bahawa yang berhormat YB arwah Datuk Khusairi telah meninggal dunia semalam dan dikebumikan pagi tadi.

"Jadi, Speaker (Dewan Undangan Negeri) dapat surat itu, dia pun pula menulis surat kepada SPR memaklumkan kekosongan kerusi DUN Slim. SPR pasti akan panggil mesyuarat untuk memutuskan sama ada PRK akan dibuat atau tidak dan bila akan dibuat.

"Selepas SPR umum nanti, saya rasa Ibu Pejabat UMNO akan buat pengumuman," katanya ditemui selepas majlis menandatangani dan bertukar-tukar memorandum persefahaman dengan SME Corp di Ipoh pada Khamis.

BACA: ADUN Slim, Khusairi Talib meninggal dunia

BACA: Jenazah ADUN Slim, Mohd Khusairi selamat dikebumi

Khusairi yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang selepas mengalami serangan jantung.

Pada Rabu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, parti itu akan mencalonkan anak tempatan untuk bertanding di kawasan tersebut.