Meskipun UMNO dan Pas kelihatan ‘akrab’ sejak kebelakangan ini namun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasakan kedua-dua parti itu tidak akan bersatu kerana ideologi politik mereka sangat berbeza.

Menurutnya, penyatuan UMNO-Pas bukanlah perkara baru malah ia sudah beberapa kali dibangkitkan sebelum ini namun hasilnya, kedua-dua parti itu tetap terpisah, tidak bersatu.

Tambah beliau, UMNO kini hilang panduan selepas kalah dalam PRU14 malah semakin hari semakin lumpuh maka dalam keadaan tidak menentu itu, mereka cuba ‘berbicara’ dengan Pas.

“Bukan sahaja kalah teruk tapi hampir hancur. UMNO yang pernah gagah mengetuai BN dengan tidak semena-mena selepas PRU14, sebahagian besar meninggalkan parti itu.

“Jadi sekarang mereka menjadi satu kelompok parti pembangkang yang jauh lebih kecil. Saya percaya mereka (UMNO) sudah hilang keyakinan. Maka sebab itu dalam keadaan tidak menentu, UMNO berbicara dengan Pas.

“Saya tak yakin UMNO mungkin bersatu dengan Pas, ini bukan cerita baru, ini cerita lampau zaman-berzaman. Nampak baik lepas itu tak baik, lepas itu sebelum pilihan raya nak kerjasama tapi lepas tu tak jadi pula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sesi wawancara khas bersama Sinar Harian dan Malaysiakini di kediamannya di Bukit Damansara, di sini, baru-baru ini.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, kerjasama antara Pas dan UMNO tidak akan menjejaskan Pakatan Harapan meskipun kedua-dua parti berkenaan mungkin boleh dilihat seakan mewujudkan gabungan baru.

Jelasnya, beliau kurang yakin gabungan itu akan menjadi gabungan mantap kerana ketika beliau masih bersama UMNO, parti tersebut tidak pernah merasakan Pas sebagai parti yang boleh bersama mereka.

“Ideologi, pemahaman politik, cara politik pun jauh berbeza. Jadi atas dasar itu saya tak fikir ia akan jadi gabungan yang mantap dan mungkin sebahagian orang UMNO tak bersetuju bila kata nak gabung dengan Pas.

“Orang Pas pun saya percaya, mereka di sebelah sana yang selama ini melihat UMNO sebagai satu parti yang katanya tak Islam, tak ikut syariat agama, yang buat macam-macam kemungkaran.

“Lebih lagi bila dah kalah teruk macam ini, saya tak fikir mereka boleh bersatu tapi apa pun dalam politik sekarang, kemungkinan itu boleh berlaku, saya tak nafikan,” ujarnya.

Kerjasama antara Pas dan UMNO dilihat mula berputik apabila kedua-dua parti itu beralah dalam menetapkan calon di beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini.

Malah, beberapa kenyataan dari pemimpin kedua-dua parti juga mengesahkan mereka menjalinkan kerjasama demi satu tujuan iaitu untuk menumbangkan Pakatan Harapan.