Parti UMNO dan Pas Kedah yakin mampu menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15, jika kerjasama antara kedua-dua parti tersebut dapat direalisasikan.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kerjasama yang terjalin ketika ini terutama membabitkan kumpulan akar umbi kedua-dua parti berjalan lancar dan menunjukkan satu perkembangan yang positif.

Tambah beliau, kegagalan kerajaan Pakatan Harapan untuk merealisasikan pemerintahan Malaysia Baharu seperti yang diidamkan seluruh rakyat Malaysia, juga mampu menjadi satu kelebihan buat Pas dan UMNO menjadi pilihan terbaik terutamanya pengundi di Kedah, pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita punyai keyakinan yang tinggi kalau kerjasama ini kita tautkan dengan sebaik mungkin atas kehendak rakyat. (Pada peringkat) akar umbi juga melihat bahawa kerjasama ini memberikan satu pulangan yang begitu baik.

“Pada masa sama, kegagalan Pakatan Harapan untuk merealisasikan pemerintahan dalam bentuk Malaysia Baharu tetapi (yang terlihat adalah) kecelaruan yang begitu tinggi. Kita nak mengelak sebarang kelemahan darpada pihak kita... kerjasama (UMNO-Pas) ini akan membuahkan hasil yang baik,” ujar Jamil.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perjumpaan Mahabbah Perpaduan Ummah Negeri Kedah di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya menyifatkan kerjasama yang terjalin antara Pas dan UMNO tidak akan sampai ke peringkat membentuk satu gabungan.

Namun demikian, Ahmad menegaskan kejayaan dalam pembentukan kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas dianggap satu kejayaan yang besar jika dibandingkan dengan perseteruan panjang membabitkan kedua-dua parti itu sebelum ini.

Sementara itu, bagi pihak UMNO, Jamil menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada UMNO pusat bagi memutuskan kewajaran kedua-dua parti terbabit untuk bergabung.