Tutup

'UMNO Perak yang tawar saya jadi MB' - Asmuni Awi

'UMNO Perak yang tawar saya jadi MB' - Asmuni Awi
Asmuni (gambar) mendakwa, UMNO sendiri tawarkan jawatan Menteri Besar kepadanya sekiranya dia bersetuju untuk menyertai parti itu. - Facebook/Asmuni Awi
IPOH: Dakwaan Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad kononnya wujud gerakan di kalangan Exco Kerajaan Negeri untuk menggulingkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, disifatkan sebagai mengarut dan bukan cerita yang sebenar.

Exco kanan Kerajaan Negeri, Asmuni Awi mendakwa, sebaliknya UMNO sendiri yang telah melakukan tawaran kepada beliau untuk menyertai parti itu dan dijanjikan jawatan Menteri Besar sekiranya bersetuju.
"Pada 1 November lalu, mereka hantar orang tengah untuk mengajak saya keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan sertai UMNO dengan menawarkan jawatan Menteri Besar bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan PPBM bagi membentuk 30 kerusi (majoriti mudah).

"Ia memang betul berlaku dan saya telah tolak mentah-mentah tawaran itu, tidak masuk akal buat apa saya nak masuk UMNO yang dah semakin pupus, lebih baik mereka semua tinggalkan UMNO dan masuk PH," dakwa beliau yang juga Pengerusi Amanah Perak ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.
BACA: Saarani didesak dedah Exco cuba jatuhkan MB Perak

Tambahnya, beliau mempunyai bukti mengenai dakwaan tersebut dan "orang tengah" yang menyampaikan tawaran berkenaan pernah meneraju UMNO Perak.

"Saya ada buktinya, kalau Saarani cabar saya keluarkan bukti, saya tiada masalah untuk keluarkan, saya akan namakan siapa orang tengah itu, tiada masalah.

"Jadi untuk ahli UMNO, pesan saya ialah berhentilah keluarkan isu-isu begini, muhasabah diri, perbaiki segala kerosakan yang sedang berlaku dalam parti sendiri dulu, parti mereka ini umpama bangunan kayu yang dimakan anai-anai, tunggu masa nak runtuh," kata Asmuni.

BACA: Kerajaan perlu siasat dakwaan jatuhkan Menteri Besar - Armada Bersatu

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan Saarani, Asmuni berkata, Kerajaan Negeri PH yang dipimpin Ahmad Faizal ketika ini berada dalam keadaan kukuh dan mantap.

"Bagi pihak Amanah, kami solid di belakang Menteri Besar dan Kerajaan Negeri hari ini. Kami yakin ADUN-ADUN komponen PH yang lain juga sama, sama ada PKR atau DAP, teguh di belakang Menteri Besar.

"Saya cabar Saarani buktikan dakwaannya, siapa yang jumpa dia? Kalau perkara ini berpanjangan di mahkamah pun tak apa, kita tengok nanti," ujar beliau.

Semalam, Saarani mendakwa wujud gerakan dalam kalangan beberapa ahli Exco Kerajaan Negeri ingin menjatuhkan Ahmad Faizal melalui usul undi tidak percaya.

BACA: Wujudkah gerakan jatuhkan MB Perak?

Dakwa beliau lagi, beberapa ahli Exco berkenaan juga telah cuba mendekati lima ADUN Barisan Nasional baru-baru ini dan menawarkan pelbagai habuan untuk mendapatkan sokongan mereka untuk membentuk Kerajaan Negeri sekiranya proses undi tidak percaya itu berjaya dilaksanakan.





Tag: UMNO, DUN Perak, kerajaan negeri perak, mb perak, ahmad faizal azumu, asmuni awi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.