Tutup

UMNO perlu fikir masalah ekonomi yang 'peningkan' orang muda - Shahril

UMNO perlu fikir masalah ekonomi yang 'peningkan' orang muda - Shahril
SHAHRIL: Kita kena fikir apa masalah orang muda sekarang, terutama soal kerja. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR : UMNO perlu memikirkan masalah yang dihadapi orang muda masa kini terutama isu ekonomi yang melanda mereka, ujar Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Katanya, lebih merisaukan ialah masalah pengangguran dalam kalangan anak muda yang disifatkan beliau sebagai kritikal.

"Untuk tawaran, kita kena fikir apa masalah orang muda sekarang, terutama soal kerja. Paling utama yang paling mereka pening ialah ekonomi dia, pengangguran yang kritikal. Orang muda sekarang 11 peratus menganggur.

"Lagi merisaukan mengikut JTK (Jabatan Tenaga Kerja), hanya (terdapat) 148,000 kekosongan kerja. Mana nak selesai dan perkara ini tidak akan selesai bawah kerajaan PH (Pakatan Harapan)," katanya semasa menyampaikan Ucapan Penangguhan Naib Ketua Pemuda UMNO sempena Persidangan Pemuda UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Khamis.
Tambahnya, hasil Muafakat Nasional juga perlu tawarkan satu program jaminan kerja kepada semua golongan muda.

"Jaminan kerja macam mana? Setiap mereka yang tamat kerja dijanjikan pekerjaan yang dicipta oleh kerajaan pada gaji berpatutan sampailah dia dapat peluang kerja, (dan) yang lebih menarik di sektor swasta melalui program jaminan kerja yang akan dilaksana dan diselia oleh kerajaan sendiri.
"Banyak lagi kerajaan buat yang boleh (untuk) sempurnakan negara kita," tambahnya.

Pada masa sama, beliau turut mahu Barisan Nasional agar berhenti 'sembang' mengenai hutang kerajaan seperti mana dilakukan oleh PH dahulu.

"Kita nak kritik hiprokrasi mereka tidak apa. Dulu hari-hari kita fikir tentang hutang kerajaan, tetapi sekarang dia sendiri tambah hutang. Jangan jadi macam mereka," ujar beliau.

Selain itu, pulangan gaji kepada pekerja di Malaysia perlu diambil perhatian.

"Pulangan gaji kepada pekerja di Malaysia hanya 35 peratus daripada KDNK. Bermakna daripada setiap RM1 daripada ekonomi, pekerja dapat 35 sen. Berbeza dengan negara maju lain," kata beliau.

Justeru beliau mengesyorkan agar mana-mana syarikat diberi potongan cukai jika tahap gaji purata ditingkatkan.

Pada masa sama, beliau mencadangkan agar golongan Bumiputera diperkasa dengan pelaburan yang moden.

"Kita bersyukur di bawah lebih 60 tahun BN, DEB diwujudkan skim simpanan dan pelaburan. Majoriti Melayu melabur di ASB (Amanah Saham Bumiputera), Tabung Haji dan unit amanah.

"Tak salah tetapi banyak lagi peluang pelaburan yang boleh direbut dan dikuasai orang Melayu termasuk pelaburan digital," tambahnya.




Tag: UMNO, Pemuda UMNO, Barisan Nasional, PAU2019, Perhimpunan Agung UMNO, Persidangan Pemuda UMNO, PWTC, Muafakat Nasional



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.