UMNO perlu sentiasa sedar kekuatannya selama ini ditentukan oleh sokongan rakyat secara keseluruhannya.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, skop parti juga disifatkan lebih besar dan merangkumi mereka yang bukan ahli.

Jelasnya, ia merupakan kelebihan yang tidak harus diambil mudah selain harus dipertahankan.

"Kita kena kembali kepada rakyat, ahli UMNO sahaja tidak cukup untuk menentukan kelangsungan parti oleh rakyat di luar sana.

"Sebab itu usaha hendak jadikan UMNO inklusif melibatkan seramai mungkin mereka yang akan bersama-sama kita.

"Ia merupakan sesuatu yang cukup penting dan saya gembira kerana pengiktirafan banyak pihak di luar sana bahawa kita berada atas landasan betul," katanya semasa sidang media menjelang Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 di sini pada Isnin.

BACA: TN50 lebih bersifat holistik, inklusif - Pemuda UMNO

BACA:
Ahli UMNO digesa tidak leka dengan masalah dalaman parti pembangkang

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berkata, UMNO sebagai parti tunjang kepada kepemimpinan negara, perlu mengamalkan dasar inklusif iaitu membela nasib semua kaum, etnik dan sub etnik di seluruh negara.

Tegas Najib, Malaysia adalah milik semua rakyat dan setiap individu termasuk dalam UMNO, mesti memiliki perasaan kekitaan kepada semua tanpa mengira latar belakang.

Dalam pada itu jelas Hishammuddin, ulang tahun UMNO seharusnya menyuntik keinsafan mendalam bagi semua ahli serta pemimpin parti secara keseluruhannya.

"Orang UMNO jangan ambil mudah, UMNO merupakan hak bangsa kita dan kita kena tahu tanpa sokongan rakyat, kekuatan UMNO tidak bermakna dan kita bimbang satu masa nanti ia tidak dapat dipertahankan.

"Saya harap orang ramai dapat menilai sendiri konsistensi UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti, itu ujian nanti," ujarnya.

Hishammuddin turut memberitahu, UMNO perlu bekerja kuat untuk memastikan sokongan golongan muda tidak berubah.

"Kerana itu kita kena lebih memahami landskap dan berubah, perlu lebih inklusif dekati golongan muda, badan bukan kerajaan (NGO), ahli agama, guru dan tentera kerana dunia kini tidak ada tapisan.

"Apa sahaja tuduhan, mereka hanya mendapat satu cerita sahaja dan itu mempengaruhi mereka untuk tidak menyokong kita.

"Semua itu mesti didekati, konsistensi kejayaan kita selama ini, harapan kita ada perancangan dan ia tidak berkisar puak-puak tertentu sahaja dalam transformasi supaya ia sentiasa relevan," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata, bilangan pendaftaran baharu anggota UMNO mencatatkan jumlah luar biasa apabila sebanyak 3,000 orang menyertai parti itu dalam tempoh seminggu pada penghujung Mac lalu.

Ujarnya, pada kebiasaannya, hanya sekitar 200 hingga 300 orang mendaftar sebagai anggota dalam tempoh seminggu selain kesemua yang mendaftar itu terdiri golongan muda yang berusia bawah 30 tahun.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, Barisan Nasional (BN) perlu menampilkan imej yang lebih segar dan tidak boleh dipandang sebagai parti untuk orang lama sahaja.

Sehubungan itu katanya, setiap calon daripada BN yang akan dipilih pada PRU akan datang perlulah dilihat sebagai yang mampu mewakili bukan sahaja generasi muda, malah semua lapisan rakyat.