UMNO Sabah tidak terbubar atau tergugat dengan tindakan keluar parti beramai-ramai pemimpinnya pada Rabu, kata Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata suatu analisis dilakukan terhadap beberapa jawatan dalam Badan Perhubungan UMNO Sabah bagi membolehkan parti itu menyusun dan merombak badan perhubungan itu.

Ia termasuk melaksanakan pelan penggantian di peringkat bahagian sebagaimana dalam Fasal 15.7 dan Fasal 15.8 Perlembagaan UMNO, lapor Bernama.

"Apa yang berlaku di Sabah merupakan suatu tindakan yang telah dijangka dan ini tidak sama sekali melemahkan perjuangan UMNO yang banyak menabur jasa di negeri itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada satu sidang media di Menara Dato' Onn di sini pada Rabu.

Ekoran krisis kepimpinan UMNO Sabah, Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkuatkuasa Rabu, menggantikan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang keluar parti.

BACA: 13 wakil rakyat UMNO Sabah, termasuk pengerusi negeri keluar parti

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata pelantikan itu dibuat berikutan tindakan keluar parti yang melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator.

Katanya jawatan Timbalan Pengerusi digantikan oleh Ketua Pemuda UMNO Sepanggar Datuk Yakub Khan manakala Timbalan Ketua UMNO Kinabatangan, Jefri Ariffin dilantik sebagai Setiausaha dan Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raimi Unggi sebagai Ketua Penerangan.

"Setelah berbincang, kita tegaskan UMNO Sabah berfungsi seperti biasa. Kita akan perkasakan parti. Saf pimpinan UMNO Sabah sudah lengkap dan berjalan seperti biasa," katanya.

BACA: Lebih baik saya terus menyumbang - Bung Moktar

Lima anggota Parlimen yang keluar parti adalah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

Selain itu, sembilan ADUN ialah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (Sulaman), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh (Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).

Dua senator UMNO yang keluar parti ialah Datuk Ghani Yassin dan Datuk John Ambrose.

Turut mengumumkan keluar parti ialah bekas Bendahari UMNO yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang merupakan Ketua Bahagian Kota Belud.

Mengulas lanjut, Annuar berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan UMNO Sabah yang baru dilantik itu.

"Esok (Khamis) Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahadzir Khalid akan ke Sabah untuk bertemu mereka," katanya.