Perkataan "barua" yang ditanyakan oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dalam satu ceramah di Kubang Ulu, Permatang Pauh Isnin lalu ditujukan khas kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei dalam satu kenyataan rasmi hari ini menafikan ungkapan "barua" itu ditujukan kepada seluruh anggota polis.

“Pertanyaan Azmin 'Apakah KPN itu ‘barua’ kepada parti pemerintah?' tidak lain adalah demi kebaikan keseluruhan institusi dan pasukan polis itu sendiri agar bukan sahaja bebas daripada pengaruh politik, tetapi juga benar-benar dilihat bebas oleh masyarakat.

“Persoalan yang ditanya itulah yang perlu dijawab oleh KPN secara peribadi dan bukannya membiarkan Persatuan Pegawai Kanan Polis mengeluarkan kenyataan,” kata Shuhaimi.

Persatuan Pegawai Kanan Polis dan Persatuan Pegawai Rendah Polis hari ini mendesak Menteri Besar Selangor itu mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

BACA: Persatuan Polis gesa permohonan maaf terbuka Azmin Ali kepada PDRM

Kata Shuhaimi lagi, meskipun penegasan oleh pengerusi Persatuan Polis, Datuk Shah Gzali Shahadah bahawa pihak polis tidak mencampuri urusan politik dan tidak sesekali berkiblatkan mana-mana parti politik, namun ia dilihat tidak selari apabila layanan diberikan kepada aktivis dan pimpinan Pakatan Rakyat nyata berbeza sama dengan yang diberikan terhadap pimpinan UMNO-BN.

“Kami juga berpengalaman di mana ada mantan KPN yang memukul pimpinan tertinggi kami. Itu satu contoh ‘polis tidak mencampuri urusan politik dan tidak sesekali berkiblatkan mana-mana parti politik,’” kata Shuhaimi dalam kenyataan itu.