"Usah menjadi seperti tuak dalam botol baharu tetapi kandungannya lama, atau hanya bersalin kulit dan kosmetik tetapi badan dan wajah tetap sama."

Itu kiasan yang digambarkan penganalisis politik, Profesor Madya Dr Jeniri Amir sejurus pembubaran Barisan Nasional Sarawak diumumkan dan sebuah entiti baharu iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) diwujudkan hari ini.

Menurut Jeniri, tindakan BN Sarawak itu adalah langkah yang bijak dan tepat untuk menjamin survival parti-parti komponen BN Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), kata Jeniri di sini hari ini.

Beliau turut berkata pembentukan GPS adalah tindakan drastik namun tepat pada masanya.

"Ini kerana imej yang terpalit pada BN cukup sukar dibersihkan dan kewujudan GPS yang memfokus kepada Sarawak adalah sesuatu yang diperlukan ketika ini.

Sebagai gabungan politik baharu katanya, parti yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) perlu melakukan anjakan, terutama dari aspek falsafah serta ideologi.

"GPS harus berani dalam melakukan transformasi agar dapat diterima rakyat sekali gus menjadi lebih mandiri.

GPS, katanya, juga perlu dibina sebagai jenama baharu bagi menggantikan jenama BN yang kini menjadi lialibiliti.

"Keluar BN maknanya bebas daripada segi imej, ideologi dan pendekatan, tetapi yang paling penting bebas daripada dipalit isu rasuah dan integriti.

"Jangan hanya bertukar kulit, bertukar teknik solekan, tetapi harus keluar secara total," katanya.

GPS, kata Jeniri, kini bebas bergerak tanpa dibayangi 'abang besar' daripada BN Pusat yang selama ini memberi gambaran 'kurang enak' terutama soal integriti dan ketelusan pemerintahan.

"Justeru, gabungan itu penting bagi memastikan parti itu terus relevan, dan mereka perlu mengambil iktibar daripada kelemahan, kesilapan dan juga imej negatif yang terpalit oleh BN sebelum ini.

"Jadi, melangkah ke hadapan, GPS harus bertindak berani dengan mentransformasikan diri mereka secara struktural.

Jeniri berkata beliau yakin di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, perikatan baharu ini akan menjadi wadah politik yang dihormati di Sarawak, dengan fokusnya terarah kepada perjuangan mengembalikan hak Sarawak serta memajukan luar bandar dan pesisir.

GPS kini memiliki 19 kerusi di peringkat Parlimen dan 72 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak.