Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (Usbo) menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri pada masa hadapan.

Presiden Usbo, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau yakin Presiden PKR itu mampu membawa perubahan baharu yang lebih menjaga kepentingan rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Beliau dan Penasihat Usbo, Datuk Seri Salleh Said Keruak bagaimanapun tidak membuat sebarang pengumuman untuk menyertai PKR.

“Tiada yang bersifat politik. Apa yang kami lihat, saya tidak perlu menjadi ahli PKR untuk menyokong beliau (Anwar), saya tidak perlu memegang apa-apa jawatan,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Memperingati Hari Malaysia Sabah 2019 di sini, pada Selasa.

Pandikar dalam sidang medianya berkata, perhimpunan tersebut adalah sebagai wadah menyokong kepimpinan Anwar selaku bakal Perdana Menteri Malaysia.

Sebelum ini, ketiga-tiga tokoh politik tersebut pernah tidak sehaluan memandangkan Pandikar dan Salleh merupakan bekas 'orang kuat' Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, isu berkenaan dianggap selesai apabila Anwar, Pandikar dan Salleh duduk semeja dalam majlis berkenaan.

Sementara itu, Salleh pula berpendapat, Anwar di dalam landasan tepat untuk menyelamatkan Malaysia daripada politik ekstrem yang kini mulai menular.

Jelas beliau dalam sidang media yang sama, presiden pkr itu merupakan individu penting untuk memimpin negara daripada elemen politik tidak sihat itu.

“Kami pertubuhan Usbo menyokong sepenuhnya Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir, kerana pada saya beliau dalam landasan betul untuk menyelamatkan Malaysia.

“Kita mesti cari pemimpin yang selamatkan Malaysia kerana sekarang ini saya tengok sudah ada usaha politik ekstrem,” katanya.

Dalam pada itu, anwar ketika ditanya media mengenai status pandikar dan salleh, beliau menjelaskan program tersebut bukanlah program politik atau penyerahan borang masuk pkr.

“Hari ini (ialah) program badan kebudayaan dan kaum, dan kita bincang soal itu. Saya tentulah terkesan kerana mereka bagi sokongan itu dan soal (menyertai) parti tidak dibincangkan, saya sambut positif,” tambahnya.

Beliau dalam masa yang sama melihat permulaan positif mengenai perjanjian disebut oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau akan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.