Walaupun luka sewaktu ‘Peristiwa Memali’ pada tahun 1985 masih berbekas sehingga ke hari ini, atas sifat berjiwa besar, parti UMNO sudah lama dimaafkan atas kejadian terbabit.

Itu antara luahan penduduk di perkampungan Memali yang pernah terlibat dalam peristiwa berdarah 34 tahun lalu, selepas termeterai Piagam Muafakat Nasional antara parti Pas dan UMNO, pada Sabtu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Memali, Datuk Muhamad Yusof Husin, kebanyakan penduduk Memali yang terlibat dalam peristiwa terbabit sudah lama memaafkan beberapa individu dari UMNO yang datang kepada mereka bagi memohon maaf atas kejadian tersebut.

Tegasnya, pihaknya tidak pernah menutup sebarang ruang kepada pihak yang terlibat untuk memperbetulkan keadaan dan memperbaiki kekhilafan yang dilakukan sebelum ini.

"Walaupun dia melibatkan UMNO, tapi bukan melibatkan UMNO keseluruhan. Ini yang melibatkan orang penting dalam UMNO... sama ada di peringkat bahagian, negeri ataupun pusat, yang membuat polisi.

“Sebahagian besar daripada orang UMNO tersebut secara peribadinya telah datang minta maaf kepada kita, cuma kita tak perlu hebohkan pada sesiapa.

“Sebab itu dalam Islam, bukan tidak ada ruang bagi orang yang pernah lakukan kesalahan termasuk kesalahan besar, kesalahan membunuh.. bukan tidak ada ruang (untuk maafkan),” ujar Muhamad Yusof.

Tambah beliau yang juga merupakan bekas senator Dewan Negara, semua pihak terutama dari akar umbi Pas dan UMNO supaya tidak memainkan isu-isu yang akan memecahbelahkan hubungan yang terjalin ketika ini.

Jelas Muhamad Yusof, mereka sebaliknya menyokong penuh penyatuan antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu agar agenda yang lebih besar demi kesejahteraan ummah dapat dicapai.

"Apa yang berlaku sekarang, apabila kepimpinan Pas umum untuk taawun atau kerjasama dengan UMNO, bagi kami penduduk Memali khususnya yang pernah terlibat dalam peristiwa itu memang terkesan, terasa sampai sekarang.

“Tapi keperitan itu bukanlah satu penghalang untuk kita bekerjasama dengan UMNO demi sesuatu yang lebih besar, iaitu untuk menyelamatkan negara ini, untuk menyelamatkan Islam, untuk menjaga kepentingan orang Melayu, kedaulatan raja-raja dan sebagainya, itu lebih penting,” ujar beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris menegaskan supaya tidak wujud penolakan daripada ahli-ahli Pas terutama di kawasan Memali terhadap penyatuan yang terjalin antara Pas dan UMNO.

Jelasnya, selepas Piagam Muafakat Nasional ditandatangani, hubungan antara akar umbi Pas dan UMNO semakin erat, iaitu ahli kedua-dua parti saling bekerjasama dalam apa jua aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan terutama di dalam Parlimen Baling itu sendiri.

"Bagi saya tak berbangkitlah (isu penolakan). Kalau ada orang kata penduduk atau mangsa Memali.
“(Semua) boleh lihat, selepas daripada penyatuan ummah kita nampak hubungan yang begitu erat antara kedua-dua pihak (Pas-UMNO), sama ada dalam bentuk di tempat ceramah, di dalam majlis sukan dan sebagainya kita nampak persefahamam, hubungan baik dua pihak. Itu satu yang baik untuk umat Islam seluruhnya,” ujar Abd Nasir.

Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menandatangani Piagam Muafakat Nasional dalam satu majlis Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Piagam yang termeterai antara kedua-dua parti terbesar Melayu itu, antara lain bersetuju menjalinkan kerjasama dalam mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan dan keharmonian Malaysia.