PAS tidak menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baharu kerana Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang itu tidak berkebolehan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Wan Azizah ditolak bukan disebabkan gender tetapi syarat melantik pemimpin mestilah seorang yang mempunyai kebolehan.

"Dia nak lantik pemimpin ini banyak syarat-syarat dia. Antaranya pemimpin itu sendiri mesti ada kebolehan, kelayakannya untuk jadi pemimpin.

"Kalau daripada awal lagi dia tidak ada kebolehan untuk jawab soalan di Parlimen, untuk soal di Parlimen, soal dalam Dewan Negeri, nak berdialog dengan lawan dalam Dewan Negeri pun tak boleh, macam mana nak jadi pemimpin? Ini tak boleh.

"Jadi syarat-syarat ni dah tidak lepas, bila tidak lepas syarat ni maka tak boleh jadi pemimpin, bukan dengan sebab perempuan dengan sebab lelaki.

"Jadi, yang sebenarnya, sebab kita tolak calon di Selangor tu kerana tak layak daripada awal-awal lagi, bukan dengan sebab dia perempuan, bukan dengan sebab itu," katanya ketika soal jawab dalam sesi dialog dan penerangan isu semasa di Rusila, Marang pada Jumaat.

Dalam sesi dialog itu juga Abdul Hadi turut menjelaskan PAS menghantar tiga nama calon menteri besar Selangor yang baharu kerana pihak istana mahu lebih dari dua nama.

"Nak suruh Sultan pilih, hantar satu nama, nak pilih macam mana? Kemudian kita terima surat daripada istana.

"Istana tulis surat kepada saya, semua parti hendaklah menghantar lebih daripada dua nama. Sultan suruh hantar lebih daripada dua nama, bila suruh hantar lebih daripada dua nama, lebih daripada dua nama ni berapa? Tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan, sepuluh, boleh hantar berapa banyak," katanya.

Video sesi dialog tersebut ada di sini.