Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan bahawa parti itu akan menjadi seperti UMNO mahupun Barisan Nasional selepas beberapa pemimpin BN menyatakan sokongan kepada Warisan.

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, apa yang berlaku sekarang adalah di luar jangkaan beliau dan tindakan (menyertai Warisan) itu dibuat sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa paksaan sesiapa.

"Tidak sama seperti UMNO mahupun BN. Saya bukan mengambil mereka untuk sertai Warisan tetapi mereka sendiri datang menyatakan sokongan kepada saya.

"Ada di antara mereka itu ahli UPKO dan seperti yang kita ketahui UPKO telah menjadi rakan kerjasama Warisan dan umum mengetahui bahawa mereka tidak melompat parti tetapi memilih untuk bekerjasama dengan kita.

"Pada hari ini dua lagi ahli Umno datang berjumpa dengan saya dan saya akan pertimbangkannya bagaimana, jika mereka rasa mahu menyertai Warisan itu pilihan mereka tetapi hari ini mereka cuma datang dan memberikan sokongan," katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

Hari ini, empat ADUN BN termasuk dua menteri penuh Kabinet Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman tiba ke kediaman Mohd Shafie di Taman Golfview, Penampang kira-kira pukul 3.15 petang.

Keempat-empat ADUN BN itu menyatakan sokongan penuh kepada Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah.

Pergolakan politik Sabah bermula Jumaat lalu apabila enam ADUN BN iaitu Datuk Hamisa Samat (Tanjong Batu); Abdul Muis Picho (Sebatik); Datuk Osman Jamal (Balung); Jamawi Jaafar (Kemabong); Ewon Benedick (Kadamaian) serta Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) menandatangani watikah pengisytiharan di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menyatakan sokongan kepada Mohd Shafie.

Ekoran sokongan itu, Mohd Shafie yang mewakili gabungan Warisan-DAP-PKR mendapat majoriti mudah 35 kerusi hingga melayakkan beliau dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah ke-15.

Mohd Shafie turut mempersoalkan kedegilan Musa yang mendakwa beliau masih kekal Ketua Menteri yang sah walhal tidak mendapat sokongan daripada ADUN.

Mohd Shafie menyatakan, Tun Juhar juga telah meminta agar Musa mengundur diri namun sehingga kini beliau masih berdegil dan tidak berbuat demikian.