Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri tidak boleh menghalang mana-mana parti untuk melebarkan sayap ke negeri ini termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, undang-undang negara ini juga membenarkan mana-mana parti ditubuhkan.

Bagaimanapun, tegas Presiden Warisan itu, pihaknya terus dengan matlamat dan pegangan parti itu.

“Kita bersama-sama dengan Pakatan Harapan dan membentuk Kerajaan Persekutuan pasca pilihan raya. Kita akan bekerjasama dengan PH demi manfaat dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Mohd Shafie mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kesediaan parti Bersatu ke Sabah.

Selain itu, beliau turut menyedari perasaan penyokong Warisan berhubung kesediaan Bersatu itu.

“Nasihat saya ialah jangan terlalu mengikut emosi dan kita akan terus fokus kepada pembangunan negeri demi kepentingan rakyat Sabah.

“(Kita) mentadbir Sabah dengan baik dan memastikan kepentingan diperjuang serta dikekalkan seperti yang Perjanjian Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberikan kenyataan akhbar mengenai tindakan Bersatu yang akan melebarkan sayap mereka di Sabah, namun tiada sebarang sidang media diadakan dalam sesi berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Terdahulu, baru-baru ini, Dr Mahathir dalam sidang medianya mengumumkan Bersatu tetap akan bertapak di Sabah selepas mengambil kira beberapa faktor termasuklah melihat keadaan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) di Sabah.

Bagaimanapun beliau menafikan tujuan menubuhkan parti Bersatu di Sabah adalah untuk memberi saingan kepada parti Warisan.