Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau ada menghubungi Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Beliau mengakui perkara itu ketika ditemu bual dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian hari ini.

Namun, beliau tidak mengulas lanjut apakah yang dibincangkan sewaktu menghubungi Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Ya ada (hubungi Datuk Seri Anwar), sebab ... selama ini memang saya ada berhubung dengan beliau, terutama sekali tanya khabar dari segi peribadi dan sebagainya,” kata bekas Presiden UMNO itu.

Dalam pada itu, Najib berkata, dakwaan beliau cuba membeli atau mencuri wakil rakyat Pakatan Harapan demi mengekalkan jumlah kerusi Parlimen mencukupi untuk Barisan Nasional terus menjadi kerajaan, adalah tidak benar sama sekali.

“Malam (9 Mei) itu saya ada yang saksi lain, Beberapa pemimpin utama, lepas kita dengar keputusan itu, mereka datang ke rumah saya, termasuk (Presiden UMNO) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Kami tak bincang nak curi atau nak beli mana mana wakil rakyat PH, untuk mereka menyeberang ke sebelah kita.

“Jadi saya tak tahu mana datang berita itu, tapi tidak, bukan dari saya, saya pun dah nafikan. Itu saya nak ulang balik, memang bukan termasuk dalam perancangan saya,” katanya.

Selain itu, Najib berkata, beliau turut menafikan dakwaan ingin mengisytiharkan darurat melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada hari itu.

Sebaliknya, beliau mengambil tanggungjawab sebagai pemimpin utama BN ketika itu untuk mengaku kekalahan dan meletak jawatan.

“Saya terima, sebagai ketua saya tak dapat lari daripada morale responsibility. Sebab tu saya letak jawatan. Tapi banyak faktor yang sumbang pada kekalahan, dan bukan saya seorang sahaja.

“Banyak ada faktor negeri, faktor tempatan, soal calon dan sebagainya. Tapi macam mana pun sebagai ketua pada ketika itu saya terimalah tanggungjawab moral, sebab itu saya letak jawatan,” katanya lagi.