Yup, sure (sudah tentu). Why not (Kenapa tidak)?” Ini jawapan ringkas calon Presiden UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditanya sama ada beliau mahu menyahut cabaran Tengku Razaleigh Hamzah untuk berdebat dan mengisytihar harta.

Beliau berkata perdebatan boleh dilihat dapat merancakkan lagi keampuhan demokrasi yang bukan sahaja dalam parti tetapi politik Malaysia.

“Ini adalah pemilihan dalam keluarga. Ramai kata tak perlu ada debat dalam keluarga. Saya menyifatkan kenapa tidak?

“Rakyat juga mahu lihat. Ini (berdebat) bukan sahaja boleh memperkuatkan budaya demokrasi dalam UMNO tapi dalam politik Malaysia,” tambah Khairy.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media hari ini di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara, di sini hari ini.

Khairy juga berkata berdebat membuktikan kepada rakyat bahawa calon diuji dan diukur mengikut pemikiran, idea dan kesungguhan untuk menawarkan satu visi yang jelas kepada perwakilan dan rakyat.

"Saya tidak ada masalah dari segi format perdebatan tapi biarlah ia mengenai masa depan parti supaya dapat memperkuatkan UMNO dan diterima rakyat.

"UMNO tidak boleh dipisahkan daripada rakyat. Kita kena dengar kehendak rakyat kerana ini bukan sahaja mengenai pemilihan presiden, ini adalah mengenai siapa yang akan memimpin Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sementara itu, Khairy juga berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk melakukan pengisytiharan harta dan akan melakukan beberapa persiapan yang berkaitan.


Semalam Ahli Parlimen Gua Musang yang juga calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau bersedia berdebat dengan dua lagi calon presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Tengku Razaleigh atau mesra dengan panggilan Ku Li turut berkata beliau akan mengisytiharkan harta dan menggesa kedua-dua calon tersebut melakukan perkara yang sama.


Perebutan jawatan Presiden kali ini adalah jumlah paling banyak dalam sejarah parti dan ia merupakan kali pertama jawatan nombor satu itu dipertandingkan sejak 1987.

Pemilihan kali ini juga menyaksikan jawatan Timbalan Presiden bakal ditandingi oleh tiga calon, Naib Presiden sembilan calon, Majlis Tertinggi 121 calon, Ketua Pemuda (sembilan calon) dan Ketua Puteri (empat calon).

Pemilihan UMNO kali ini akan berlangsung pada 30 Jun.