Mohideen Abdul Kader mendakwa cucu saudaranya, Muhammed Yusoff Rawther menjadi mangsa eksploitasi ahli politik tertentu yang dahagakan kuasa.

Beliau menzahirkan keraguan apabila Muhammed Yusoff hanya mendedahkan dicabul Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini sedangkan kejadian itu dakwanya berlaku pada 2 Oktober tahun lalu sewaktu bertugas sebagai pegawai penyelidik.

Menurut Mohideen dalam satu sidang media hari ini, Yusoff telah diperguna dan dieksploitasi oleh sesetengah ahli politik yang 'gila kuasa' (power hungry) yang tidak bersesuaian sama sekali buat negara ini.

"Saya percaya dia dipergunakan atau dieksplotasi oleh pemimpin politik yang gilakan kuasa dan ia tidak baik kepada negara kerana kita pernah laluinya dan kita sifatkannya fitnah politik atau politik liwat.

"Kita pernah laluinya. Kami ingat dengan adanya pilihanraya serta pertukaran kerajaan Malaysia, politik sepatutnya diketepikan manakala isu rakyat menjadi fokus," katanya.

Mohideen yang juga Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata demikian dalam sidang media di Georgetown pada Khamis.

Beliau pada masa sama menzahirkan kecewaannya dengan segelintir ahli politik yang dilihat terlalu taksub mengejar kuasa hingga membelakangkan kepentingan rakyat yang memilih mereka sebelum in

Sementara itu, Mohideen turut berkata tidak perlu wujud pemikiran politik Machiavelli dalam pentadbiran baharu ini.

Justeru, beliau menasihati pemimpin politik untuk mengutamakan perjuangan terhadap rakyat dan bukan mengejar kuasa.

Muhammed Yusoff dalam akuan bersumpahnya bertarikh 19 November lalu mendakwa dirinya menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah semasa kejadian yang didakwa dilakukan oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, Anwar dalam satu kenyataan hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut selain membuat laporan polis menerusi Setiausaha Sulitnya, Shukri Saad.

Selain itu, peguam Anwar, Ramkarpal Singh juga mengutuskan surat tuntutan daripada Muhammed Yusoff.