Tutup

Berita  | Sukan

10 ramalan bola sepak dunia tahun 2019

10 ramalan bola sepak dunia tahun 2019
Mungkinkah terjadi Liverpool menjulang gelaran juara liga buat pertama kali sejak 1990? - Gambar REUTERS
TAHUN 2018 telah melabuhkan tirainya, menyaksikan pelbagai detik suka duka, kejutan dan saat menakjubkan dalam arena bola sepak dunia.

Bertukar ke kalendar baharu, 2019 dijangka menjadi satu lagi tahun hebat dengan kejohanan Copa Amerika, Piala Dunia Wanita, Piala Negara-Negara Afrika dan banyak lagi untuk dinantikan sepanjang 12 bulan mendatang.

Apa yang mungkin kita jangkakan berlaku? Berikut ramalan tahun 2019 menurut Goal.com.


#1 - Juventus akan memenangi Liga Juara-Juara Eropah
'Ronaldo factor' memperkuat jangkaan untuk Juventus mengungguli Liga Juara-Juara Eropah musim ini. - Gambar REUTERS

Real Madrid sedang membina kembali pasukan dan bukanlah Real Madrid yang unggul seperti dahulu. Barcelona memiliki Lionel Messi dan jurang yang sangat jauh dengan pemain terbaik mereka yang seterusnya. Bayern Munich berada dalam transisi dengan ketiadaan minda taktikal dalam kelab. Manchester City pula semakin ‘pancit’.
Nampaknya pentas UCL akan menampilkan pencabar baharu untuk mara ke separuh akhir dan seterusnya. Tahun ini mungkin akan akhirnya menjadi tahun untuk Juventus.

Mengikat Cristiano Ronaldo dengan sasaran jangka pendek untuk terus memenangi UCL, juara bertahan Itali ini berada di landasan terbaik.

Persembahan mereka di pentas Eropah sebelum Krismas hanyalah biasa-biasa, namun mereka memiliki kekuatan, kualiti, pengalaman dan mentaliti juara untuk pergi jauh.

Ia mungkin menjadi gelaran Eropah pertama buat Bianconeri sejak 1996.


#2 - Mourinho sudahnya akan kembali ke Real Madrid

'The Special One' mahu ke mana lagi? - Gambar REUTERS


Santiago Solari menjalankan tugas dengan baik selepas mengambil alih tugas pengurusan di Santiago Bernabeu, namun tidak ramai yang akan menyokong pengendali dari Argentina itu untuk kekal di kerusi tersebut menjelang musim depan.

Pemecatan Jose Mourinho oleh Manchester United bermakna bayang-bayang ‘The Special One’ akan menghantui beberapa bulan mendatang, terutamanya presiden kelab Fiorentino Perez diketahui memuja pengurus kelahiran Portugal itu.

Ia akan menjadi kepulangan yang sensasi buat Mourinho, yang masih ada urusan yang belum selesai di Real dan juga di tahap tertinggi secara amnya.


#3 - Antonio Conte menjadi calon paling sesuai untuk Manchester United

Adakah Conte benar-benar sesuai untuk mengepalai The Red Devils? - Gambar REUTERS


Nampak seperti Manchester United berusaha keras untuk mengumpan Mauricio Pochettino dari Tottenham Hotspurs pada musim panas ini. Mereka perlu menggantikan Ole Gunnar Solskjaer, yang dipanggil dari Molde sebagai penyelamat sementara susulan pemecatan Mourinho.

Pochettino bagaimanapun mendapat sokongan yang baik di Spurs, yang tidak terjamin lagi di Old Trafford. Dengan stadium baharu dan generasi baharu yang menyakinkan, Pochettino mungkin perlu mempertimbangkan bahawa masa depannya lebih baik di London.

Dalam apa hal sekalipun, Antonio Conte dilihat lebih cocok untuk kelab berprofil seperti United. Dia ketika ini sedang berehat dan menantikan tawaran kerja yang terbaik untuk disambar. Tambahan pula, kemampuannya di peringkat Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah terbukti dengan memenanginya bersama Chelsea dan berkemampuan menjinakkan ‘bilik persalinan yang paling liar’.

Dia dilahirkan untuk menang di peringkat tertinggi dan lebih cepat Ed Woodward menyedari perkara itu, lebih baik.


#4 - Amerika Syarikat pertahan gelaran Piala Dunia Wanita

Selain AS, Brazil juga dijangka memberi cabaran hebat untuk merampas kejuaraan dunia. - Gambar www.usssocxer.com


Pasukan bola sepak wanita mana yang lebih unggul daripada Amerika Syarikat (AS)? dan mereka memasuki Piala Dunia sebagai pilihan utama untuk mengekalkan kejuaraan yang dirangkul pada 2015.

Hanya empat negara yang pernah memenangi kejohanan tersebut sepanjang sejarah penganjurannya, dengan Jerman, Norway dan Jepun menyamai pencapaian AS dan hanya Jerman mengekalkannya sehingga hari ini.

AS mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa pemain terbaiknya selepas kejohanan 2015 tetapi perlu berada dalam kekuatan penuh menjelang Jun selepas menempuh sepanjang tahun 2018 tanpa merasai kekalahan.

Belanda selaku penyandang juara Eropah dilihat sebagai satu lagi pasukan pilihan, memiliki antara pemain terbaik dunia yang beraksi bersama Barcelona, Lieke Martens.

Pasukan tuan rumah, Perancis juga harus diberi perhatian memandangkan teras keunggulan pasukan wanita Lyon menjadi tulang belakang kepada Les Blues.


#5 - Pengurus Inggeris EPL akan terus terkandas dan ketandusan

Di manakah bakat-bakat hebat berbangsa Inggeris dalam pengurusan tahap tinggi? - Gambar REUTERS


Tiba masa musim 2019/2020 membuka tirainya musim panas nanti, bilangan pengurus berbangsa Inggeris dalam EPL akan terus berkurangan.

Sean Dyche bergelut untuk mengendalikan Burnley dengan the Clarets nampaknya akan tersingkir selepas menamatkan musim sebelumnya di tempat ketujuh.

Walaupun atas segala usahanya di Turf Moor, kelab itu tidak dapat menahan untuk memecatnya bagi terus kekal dalam kancah Liga Perdana.

Yang tinggal hanya pengurus veteran, Roy Hodgson di Crystal Palace dan Eddie Howe, yang tidak berdepan masalah sekiranya dia memutuskan untuk meninggalkan Bournemouth.

Dengan Daniel Farke di Norwich City dan Marcelo Bielsa di Leeds United yang akan naik ke Liga Perdana, bilangan pengurus Inggeris di tahap tertinggi akan terus berkurangan.


#6 - PSG akan kehilangan permatanya

Siapa pula yang mampu untuk membayar khidmat antara dua permata ini? - Gambar REUTERS

Keputusan UEFA untuk membuka semula siasatan terhadap kedudukan kewangan Paris Saint-Germain tidak menggembirakan ramai dalam kelab Perancis itu, bermakna masalah Financial Fair Play mereka masih tidak selesai.

Sejak diambil alih oleh Qatar Sports Investment pada 2012, PSG diperhatikan dek perbelanjaan besar mereka. Pembelian Neymar dan Kylian Mbappe pada 2017 membangkitkan kemarahan ramai pihak di serata benua.

Untuk memenuhi keperluan balik modal UEFA, PSG mungkin akan dipaksa menjual beberapa asetnya pada musim panas ini, sepertimana yang dilakuka mereka tahun lepas dengan menjual bakat-bakat yang nilainya sekitar 100 juta Euro.

Sudah tentu yang akan pergi dulu sama ada Neymar atau Mbappe, dua pemain yang menjanjikan pulangan rekod dunia dan kedua-duanya dimahukan oleh kelab-kelab besar dunia.


#7 - Messi akan merampas kembali Ballon D’Or

Lionel Messi, pemain terbaik dunia sepanjang zaman? - Gambar REUTERS


Lionel Messi menamatkan 2018 sebagai pemain terbaik dunia bagi tahun tersebut, posisi yang layak dihuninya. Malang bagi bintang Argentina itu, anugerah individu telah ditabal lebih awal sebelum Disember tiba.

Luka Modric merangkul hadiah utama tahun ini susulan kejayaan menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah bersama Real Madrid dan membantu Croatia mara ke final Piala Dunia. Bagaimanapun dengan ketiadaan saingan Piala Dunia tahun ini, tumpuan akan kembali ke saingan kelab.

Di situ, Messi adalah rajanya. Dia mengetepikan sesiapa sahaja, jauh lebih baik berbanding mana-mana pemain dalam kancah La Liga dan Liga Juara-Juara. Dia akan meledak, membantu dan mencipta gol lebih banyak dari sesiapa pun.

Dia layak memiliki Ballon D’Or dan jika Barcelona dapat menghampiri mana-mana gelaran dan piala utama, Messi bersedia membawa pulang Bola Emas keenamnya.


#8 - England mengungguli Liga Negara-Negara Eropah

'The Three Lions' pimpinan Southgate agak garang. - Gambar REUTERS

Liga Negara-Negara Eropah yang pertama akan dirumuskan pada Jun di Portugal. Saingan peringkat kumpulan cukup sengit menyaksikan Belanda mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati untuk bertemu Jerman sementara England dan Switzerland juga layak di saat-saat akhir.

Ketika empat slot terakhir tidak dihuni kuasa besar seperti Perancis, Jerman dan Belgium, kejohanan mini ini tidak kurang menariknya.

Portugal memenangi Euro pada 2016 dan akan kembali menampilkan Cristiano Ronaldo. Switzerland dan Belanda memiliki barisan bakat baru yang meyakinkan, namun pasukan yang perlu diberi perhatian adalah barisan pimpinan Gareth Southgate, England.

The Three Lions telah mengembalikan keyakinan dan rasa senang kepada pasukan kebangsaan England dengan pencapaian separuh akhir mereka di Piala Dunia.

Dengan adanya Raheem Sterling, Harry Kane dan Jadon Sancho, mereka mampu menghasilkan sesuatu di Portugal pada musim panas nanti.


#9 - Brazil dan Neymar akan mencipta kegemilangan

Neymar Jr., anak emas Brazil.  - Gambar REUTERS


Brazil akan menyertai Copa Amerika di tanah sendiri sebagai pilihan utama kejohanan. Selepas kekalahan memalukan kepada Jerman di separuh akhir Piala Dunia 2014, mereka bangkit untuk memenangi pingat emas di temasya Olimpik Rio dua tahun kemudian. Dipimpin Neymar dan Gabriel Jesus, the Selecao memiliki kekuatan secukupnya untuk membalas secebis dendam.

Kini mereka sekali lagi diberi penghormatan untuk kembali menjadi pasukan terhebat Amerika Selatan dan kelompok bakat terbaik untuk merangkul gelaran juara benua buat kali kesembilan.

Argentina tetap goyah, dengan atau tanpa Lionel Messi sementara Chile tidak lagi seperti pasukan yang memenanginya dua tahun berturut-turut pada 2015 dan 2016.

Jangkakan Brazil menyinar menjelang Julai dan Neymar yang dianggap pemain terbaik kejohanan sebagai bintangnya.


#10 - Klopp mengakhiri penantian Liverpool jika…

Masih ada separuh musim, Klopp tidak mahu bergembira terlalu awal. - Gambar REUTERS

Mungkinkah Jurgen Kloop menjadi orangnya yang akan memimpin Liverpool kembali ke ‘tanah yang dijanjikan’? Beberapa generasi penyokong yang tidak pernah melihat The Reds memenangi liga. Kali terakhir ia berlaku adalah pada 1990, sebelum Liga Perdana diperkenalkan.

Namun inilah waktu terbaik untuk mereka menghapuskan badi. Liverpool hanya bolos lapan gol sepanjang musim ini setakat ini dan menewaskan pasukan demi pasukan dengan penuh bergaya.

Jika mereka memanfaatkan kealpaan Manchester City dengan menewaskan barisan anak buah Pep Guardiola pada 3 Januari, maka mereka tidak akan berdepan dengan halangan besar lagi selepas itu.


Tag: ramalan, 2019, Jose Mourinho, Juventus, UCL, Manchester United, Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Liverpool, Liga Perdana Inggeris, Real Madrid, Antonio Conte, Piala Dunia, PSG, Neymar, Kylian Mbappe, UEFA, England, Brazil, Jurgen Klopp



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.