Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didesak oleh 11 ahli gabungan Persatuan Karate Johor untuk campur tangan berhubung ketidakadilan Jawatankuasa Ad-Hoc Persatuan Karate Johor dalam menyelesaikan isu dalam persatuan itu.

Wakilnya, Wickrama Suriya yang juga Pengerusi Persatuan Karate Daerah Kluang mendakwa, jawatankuasa dipengerusikan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor Mohd Gadaffie Abd Aziz itu, gagal mengendalikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan terbabit secara telus.

Antara kegagalan jawatankuasa itu adalah, tidak mengundang beberapa ahli gabungan untuk menghadiri AGM itu pada Oktober tahun lepas, selain menyembunyikan senarai ahli gabungan yang dipanggil ke AGM itu.

"Jawatankuasa ini sepatutnya melakukan apa yang terbaik demi pembangunan sukan di Johor. Mereka perlu memanggil semua ahli gabungan persatuan ini yang sah, ataupun semua persatuan karate Johor yang berdaftar dengan PJS (Pesuruhjaya Sukan) untuk menyertai AGM ini.

"Pihak menteri telah jalankan tugas, apabila kita meminta satu jawatankuasa khas untuk selesaikan isu ini, tetapi tugas yang diberikan kepada jawatankuasa tidak dijalankan dengan betul dan kuasa PJS pula terhad, kerana jawatankuasa ini ditubuh oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan)," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Menurut Wickrama, beberapa ahli gabungan membantah dan tidak menghadiri AGM itu sebagai protes, akan ketidakadilan jawatankuasa itu.

Beliau berkata sepanjang tempoh lapan bulan jawatankuasa berkenaan menjalankan tugas bermula Februari 2019, wujud sikap 'pilih bulu' apabila terdapat ahli gabungan yang disisihkan daripada proses penyediaan draf pindaan perlembagaan persatuan itu, pada Mesyuarat Agung Khas (EGM), Mei tahun lepas.

"Saya mohon pihak menteri sila lihat kembali apa yang telah berlaku. Ia amat penting untuk beliau siasat perkara ini seberapa pantas yang boleh, berdasarkan aduan dibuat. Semua ini demi kebaikan dan kemajuan sukan karate di Johor," tambah beliau.

Sebelum ini, Persatuan Karate Johor yang didaftarkan di bawah Pembangunan Sukan 1997 pada 31 Julai 1997, digantung pendaftarannya oleh PJS dengan alasan badan sukan itu bukan lagi entiti yang patut dan wajar untuk didaftarkan, bagi mewakili sukan di negara ini selaras dengan Seksyen 25 Akta Pembangunan Sukan 1957.

Penggantungan berkenaan berdasarkan beberapa faktor termasuk terdapat ahli gabungan di bawah Persatuan Karate Negeri Johor tidak membayar yuran semasa AGM tahunan sesi pemilihan, tetapi tetap mengundi.

Bagaimanapun, isu penggantungan pendaftaran Persatuan Karate Johor sejak Oktober lepas, menemui jalan penyelesaian setelah penyerahan kembali kuasa untuk menguruskan pentadbiran kepada persatuan itu oleh MSN Johor kepada presiden Chok Kong Yu, pada 6 Jan lepas.

-- BERNAMA