Penyerang skuad Harimau Kumbang, Mohd. Faiz Subri menjadi popular sekelip mata selepas melakukan satu jaringan yang paling unik dalam sejarah ketika perlawanan bola sepak Liga Super 2016 di Stadium Bandaraya, pada Selasa lepas.

Bukan sahaja media tempatan , malah media antarabangsa serta peminat bola sepak turut kagum dengan sepakan percuma yang dilakukan oleh Faiz.

Sepakan tersebut juga dikaitkan dengan sepakan percuma Roberto Carlos yang mendapat perhatian dunia ketika perlawanan persahabatan antara Brazil dan Perancis pada tahun 1997.

Perkara ini nyata membanggakan rakyat Malaysia serta mengharumkan nama negara di pesada dunia.

VIDEO: Ini penjelasan Faiz Subri tentang rahsia 'tendangan ajaib' yang dihasilkan

BACA: Jersi Faiz Subri bakal dilelong RM100,000

Tetapi, sejauh manakah anda mengenali pemain tempatan yang berbakat ini? Ketahui beberapa fakta berkenaan Faiz berhubung sejarah kerjayanya.

1. Faiz dilahirkan pada 8 November 1987 dan berusia 29 tahun.

2. Penyerang bola sepak itu dilahirkan dan dibesarkan di Air Hitam, Kedah.

3. Faiz merupakan anak ketiga daripada lima adik-beradik.

4. Beliau melanjutkan pendidikannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai sebelum bertukar ke Sekolah Menengah Teknik Arau di Perlis.

5. Pada mulanya, Faiz bermain dengan skuad remaja Kedah dari tahun 2006 hingga ke 2009.

6. Beliau kemudian beralih ke Kelab Perlis SK Tambun Tulang untuk bermain dalam Piala liga FAM 2009, dan juga mewakili Perlis dalam Piala Emas Raja-Raja 2009.

7. Pada tahun 2010, Faiz menyertai kelab Perlis dan menandatangani kontrak setahun dengan T-Team,Kuala Terengganu pada musim 2012.

8. Pada tahun 2013, Faiz meninggalkan kelab T-Team dan menandatangi kontrak dengan kelab teratas Liga Super Malaysia, Kelantan bersama bekas rakan sepasukan Zairo Anuar Zailani.

9. Pada tahun 2014, Faiz menyertai pasukan bola sepak Terengganu, sebelum mengambil keputusan untuk menyertai kelab bola sepak Pulau Pinang.

10. Faiz kini bermain di posisi 'attacking midfielder' dalam pasukan bola sepak Pulau Pinang. Beliau juga boleh bermain di posisi 'striker' dan 'winger'.

11. Antara kelebihan Faiz di padang bola sepak ialah kelajuan beliau, tendangan tepat dari jarak jauh serta teknik hantaran bola kepada rakan sepasukannya.