Syabas The Pocket Rocket Man yang telah dinobatkan sebagai pemenang ke 111 pingat emas untuk kontinjen negara dalam Sukan SEA 29 Kuala Lumpur (KL2017) menerusi acara basikal trek pecut individu, pada malam Isnin.

Teruja dengan kemenangannya, The Pocket Rocketman atau Azizulhasni Awang berkata menyumbang pingat emas ke-111 merupakan sejarah buat dirinya.

“Untuk meraih pingat emas, di hadapan penonton tuan rumah, di negara sendiri merupakan pencapaian yang tidak dapat saya lupakan.

“Apatah lagi saya merupakan pemenang pingat emas ke 111 dan saya rasa ini adalah nombor bertuah buat diri saya,” katanya.

Tambah juara Keirin Dunia 2017 ini lagi, pencapaiannya kali ini adalah yang terbaik kerana pingat emas yang dimenangi pada malam ini adalah yang pertama sepanjang penglibatannya di Sukan SEA.

Tahniah Azizulhasni Awang!! Kemenangan pingat emas nombor 111 untuk kontinjen negara menerusi acara pecut individu lelaki! #kitasamahero #ayuhmalaysiaku #AstroArena | @azizulawangofficial

A post shared by Astro Arena 801 & 802HD (@astroarenahd) on


“Pingat emas individu sukan SEA dan di laman sendiri satu pencapaian terbaik buat diri saya tambahan lagi ini merupakan ‘SEA Games’ terakhir saya.

“Siapa tahu selepas ini saya menang pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo pula,” ujarnya teruja.

Terdahulu pingat emas ke-110 disumbangkan oleh Fatehah Mustafa menerusi acara Basikal Trek, Pecut Individu kategori Wanita.

Acara trek membuka tirainya malam ini menerusi acara omnium wanita, pecut berpasukan lelaki/wanita dan scratch lelaki.

Keseluruhan 13 pingat ditawarkan pada acara trek di Velodrom Nasional, Nilai.