Bahagian Ad hoc Mahkamah Arbitrasi Sukan (CAS) telah memulakan satu prosedur arbitrasi susulan rayuan terakhir yang dikemukakan oleh 32 atlet Rusia berhubung penggantungan penyertaan mereka di Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang, lapor agensi berita China Xinhua memetik pengumuman CAS pada Selasa.

"Pemohon mencabar keputusan IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) yang enggan menjemput mereka menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018. Mereka meminta CAS membatalkan keputusan IOC dan membenarkan mereka menyertai sukan itu sebagai Atlet Olimpik dari Rusia," menurut kenyataan CAS.

Atlet paling dikenali dalam kumpulan itu ialah juara enam kali Sukan Olimpik bagi acara luncur laju balapan pendek, Victor Ahn yang dilahirkan di Korea, serta pemenang pingat emas Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014 dalam acara biatlon, Anton Shipulin, dan juara dunia bagi acara luncur salji rentas desa, Sergei Ustyugo.

Pemohon lain ialah Vladimir Grigorev, Evgeniy Garanichev, Ruslan Murashov, Ekaterina Shikhova, Ksenia Stolbova, Ekaterina Urlova-Percht, Maksim Tcvetkov, Irina Uslugina, Yulia Shokshueva, Daria Virolainen, Dmitri Popov, Roman Koshelev, Mikhail Naumenkov, Alexei Bereglasov, Valeri Nichushkin, Anton Belov, Sergei Plotnikov, Evgeniya Zakharova, Ruslan Zakharov, Anna Iurakova, Alexey Esin, Yulia Skokova, Elizaveta Kazelina, Sergey Gryaztsov, Ivan Bukin, Denis Arapetyan, Artem Kozlov, Gleb Retivikh dan Alexey Volkov.

Rayuan yang lewat dikemukakan itu telah menimbulkan kemungkinan bahawa An, yang menukar kesetiaan kepada Rusia pada 2011, bakal menamatkan kerjaya Olimpiknya di negara asal.

CAS telah menarik balik larangan seumur hidup ke atas 28 atlet Rusia, yang mana 15 daripada mereka bakal mengambil bahagian pada temasya Sukan Olimpik PyeongChang, namun ditolak oleh IOC.

Memandangkan Rusia telah dilarang menyertai Sukan Olimpik PyeongChang, sejumlah 168 atlet Rusia lain yang "bersih" telah dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam temasya sukan itu di bawah bendera neutral sebagai "Atlet Olimpik dari Rusia."

-- BERNAMA