ACARA breakdance wanita terpaksa dibatalkan dan dijadikan acara pertunjukan dalam Sukan SEA Filipina bermula Sabtu ini gara-gara tidak cukup penyertaan sementara 17 acara lain yang membabitkan atlet Malaysia berdepan risiko tiada kalungan pingat gangsa.

Beberapa negara menarik diri pada saat-saat akhir yang menyaksikan perubahan acara terpaksa dilakukan.

Mesyuarat Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memutuskan acara breakdance wanita hanya akan dijadikan acara pertunjukan kerana hanya disertai dua negara.

Baki 17 acara lain pula hanya disertai tiga negara.

Dua daripada acara itu turut membabitkan atlet Malaysia, iaitu heptatlon dan taekwondo kyorugi 80 kilogram lelaki.

Berdasarkan amalan terdahulu, hanya pemenang pingat emas dan perak akan dikalungkan pingat jika acara itu hanya membabitkan tiga peserta.

"Jadi tiga kerana ada (pasukan) menarik diri pada saat-saat akhir.

"Berdasarkan pendaftaran, ada empat pasukan tetapi mereka menarik diri.

"Jadi, bukanlah salah atlet mahupun pegawai," kata Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi.

"Ada acara yang disertai tiga negara tetapi mereka menghantar dua wakil.

"Jadi, aspek itu juga perlu kita lihat," tambah Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, pula.