BUKANLAH sesuatu yang menghairankan apabila pemain terbabit dengan pergaduhan di atas padang, bahkan ada yang melibatkan rakan sepasukan.

Tetapi perbalahan dalam pertembungan Serie D Liga Itali di antara Grosseto dan Monterosi semalam merupakan sesuatu yang agak luar biasa.

Pengurus Grosseto, Lamberto Magrini, dilayangkan kad merah selepas didapati menampar salah seorang pemainnya sendiri di padang.

Magrini bertindak menggantikan Riccardo Cretella dengan Mattia Ravanelli -- anak lelaki kepada bekas penyerang Juventus, Fabrizio -- ketika permainan baki 16 minit, namun pemain itu bertindak balas apabila menunjukkan rasa tidak puas hatinya dengan menyepak angin.

Pengurus itu kemudian menampar Cretella lalu mengejutkan pemain-pemain lain bangku simpanan.

Magrini kemudian diarahkan meninggalkan padang susulan siasatan pengadil, namun Grosseto mengekalkan kedudukan 1-0 untuk mengatasi lawan mereka itu bagi merampas puncak Kumpulan E.