Akademi Sazali Samad merupakan platform terbaik menarik lebih ramai peminat sukan bina badan menonjolkan kebolehan masing-masing untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Pengarah Urusan Akademi Sazali Samad, Mohd Norasmawi Norani berkata setakat ini pihaknya telah mendapat persetujuan dengan 16 syarikat tempatan serta dua syarikat dari Singapura untuk menjadi rakan kongsi akademi tersebut.

Beliau berkata akademi itu akan beroperasi tahun depan dan lokasinya di Cyberjaya.

"Kami masih merancang mencari tempat yang bersesuaian iaitu perlu dilengkapi pusat kecergasan dan gimnasium...penubuhan akademi ini memerlukan perbelanjaan tinggi kerana peralatan dalam akademi ini perlu dapatkan dari Amerika Syarikat.

"Kami juga sedang mencari rakan kongsi daripada syarikat yang bersesuaian untuk akademi ini. Kita juga mahu mencuba masuk pasaran Indonesia dan Singapura," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Akademi Sazali Samad di i-Tech Tower, Shaftsbury, Cyberjaya hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Turut hadir penaung akademi itu, Datuk Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah Al-Haj dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sementara itu, jaguh bina badan negara, Sazali Samad berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk memajukan akademi tersebut untuk mengembangkan lagi bakat kepada generasi muda.

"Akademi ini akan melahirkan lebih ramai jaguh bina badan pada masa akan datang. Bagi saya disiplin paling utama, itulah kriteria perlu ada bagi seorang atlet bina badan," kata Sazali, 49, yang kini merupakan pesara anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).